Tiga tidak dicapai dengan tiga

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dilaporkan berkata: “Tiga perkara tidak dapat dicapai dengan tiga cara:

1. Kekayaan tidak dapat diperolehi dengan hanya berangan-angan.

2. Usia muda tidak dapat diperolehi dengan mewarna rambut.

3. Sihat tidak dapat dicapai dengan ubat-ubatan.”

Apa yang dikatakan itu mengandungi makna tasawuf yang tinggi dan hakikat sebenar. Kekayaan dan rezeki semuanya datang daripada-Nya dan manusia akan mendapatkan bahagian masing-masing. Namun seseorang itu mestilah berusaha seperti bekerja dan berniaga untuk mendapatkannya.

“Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman menjelaskan: “Yakni bahawa sekalian makhluk adalah dijamin rezekinya oleh Allah Taala. Dalam pada itu kita disuruh berusaha dan berikhtiar, kerana langit tidak menghujankan emas dan perak.”

Firman-Nya dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10 bermaksud: “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Usia muda pula tidak akan datang semula walaupun dengan mewarna rambut. Adalah mustahil usia seseorang akan kembali muda (atau berpatah balik untuk menjadi muda). Setelah tahu dan sedar hakikat itu, seseorang mestilah memanfaatkan usianya dengan sebaik-baiknya.

Orang sakit tidak akan menjadi sihat atau sembuh selagi mana tidak diizinkan Allah, walaupun menggunakan berbagai-bagai ragam ubat. Manusia boleh (bahkan dikehendaki) berusaha atau melakukan ikhtiar, namun kesembuhan adalah daripada Allah.

Satu hadis daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Jibril pernah datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau sakit?” Baginda SAW menjawab: “Ya.” Jibril lalu mengucapkan (ertinya): “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala yang menyakiti dirimu, juga dari kejahatan semua jiwa atau mata yang mendengki, semoga Allah akan menyembuhkan penyakitmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.” (Riwayat Muslim)

You cannot copy content of this page