Slovakia ancam henti bekalan elektrik ke Ukraine

BRATISLAVA – Perdana Menteri Slovak Robert Fico berkata pada Jumaat, kerajaannya mungkin menghentikan bekalan elektrik ke Ukraine berikutan jangkaan berakhirnya transit gas Rusia melalui Ukraine pada 1 Januari 2025.

“Jika perlu, kami akan menghentikan bekalan elektrik, yang sangat diperlukan oleh Ukraine semasa gangguan grid. Atau kami akan bersetuju dengan tindakan lain,” kata Fico dalam catatan video di media sosial.

Kenyataan Fico dibuat selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyatakan bantahan terhadap transit berterusan gas Rusia melalui Ukraine ke Slovakia sebaik kontrak semasa tamat pada awal tahun depan.

Fico menambah bahawa mengikut anggaran, penamatan transit gas Rusia melalui Ukraine dan Slovakia boleh menelan kos Kesatuan Eropah 120 bilion euro dalam tempoh dua tahun akan datang. Slovakia, katanya, akan kehilangan sehingga 500 juta euro setiap tahun dalam yuran transit.

Fico juga menunjukkan kesediaan Slovakia untuk menganjurkan rundingan damai di Ukraine. “Jika seseorang mahu menganjurkan rundingan damai di Slovakia, kami akan bersedia dan mesra,” kata Fico. Fico bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada 22 Disember di Moscow, membincangkan isu termasuk transit gas Rusia.

XINHUA

You cannot copy content of this page