Penuntut IPG pulang dari lawatan di Indonesia maut nahas

GUA MUSANG — Kegembiraan sekumpulan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan yang pulang dari lawatan di Indonesia berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala tiga yang lain cedera selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Merapoh.

Kemalangan membabitkan lima kenderaan itu berlaku kira-kira jam 6.45 pagi tadi.

Kumpulan 12 penuntut itu menaiki empat kenderaan, dua Perodua Axia dan masing-masing sebuah Proton X50 dan Proton Saga dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPG Kampus Sultan Mizan di Besut, Terengganu.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, yang menaiki Proton X50.

Empat kenderaan yang dinaiki mangsa bersama rakannya dikatakan di rempuh sebuah treler ketika berhenti di bahu jalan berikutan satu daripada kenderaan itu mengalami kerosakan tayar.

Ibu mangsa, Azizah Harun, 63, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam perjalanan pulang ke IPG selepas lawatan ke Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakannya.

Katanya, arwah sempat berbalas WhatsApp dengan bapanya, Mohd Mawardzi Akhir, 65, kira-kira jam 6.29 pagi tadi yang bertanyakan lokasinya.

“Dalam pesanan itu, arwah kata baru masuk Gua Musang, dan itu adalah pesanan terakhir arwah yang kami terima.

“Namun pada kira-kira jam 7.58 pagi tadi kami menerima panggilan daripada rakan arwah berkaitan kejadian yang berlaku dan bergegas datang ke Hospital Gua Musang,” katanya.

Menurut Azizah, arwah akan menduduki peperiksaan akhir esok dan seterusnya akan menghabiskan cuti di rumah keluarga di Bukit Panau, Tanah Merah.

“Arwah seorang anak yang sangat baik dan dia adalah hafizah yang sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page