Pengetua dituduh kes komunikasi, amang seksual pelajar perempuan

MARANG — Pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuan pada Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Tajudin Mokhtar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun di pejabatnya di sekolah berkenaan pada jam 8.30 pagi, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan foto perempuan seksi melalui telefon bimbitnya kepada mangsa di tempat, tarikh dan waktu sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) AKSTKK 2017 (Akta 792) berdepan hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Zur Azureen membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan melaporkan diri setiap 19 hari bulan di balai polis berdekatan.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page