SANAA, 26 Jun – Pemimpin Houthi Yaman Abdul-Malik al-Houthi berkata pada Khamis, tenteranya melancarkan 309 peluru berpandu balistik, hipersonik, dan dron ke Israel sejak pertengahan Mac, sebagai sebahagian daripada apa yang dipanggil kumpulan itu sebagai fasa kedua kempen ketenteraannya.
Dalam ucapan di televisyen menandakan Tahun Baharu Islam, yang disiarkan oleh TV Al-Masirah dikendalikan Houthi, al-Houthi berkata 25 peluru berpandu dan dron dilancarkan bulan ini sahaja dalam apa yang disifatkannya sebagai “operasi ketenteraan kualitatif bagi menyokong Gaza”.
Beliau menegaskan bahawa Laut Merah masih ditutup kepada lalu lintas maritim berkaitan dengan Israel dan menuduh Israel meneruskan serangannya di Gaza dengan sokongan AS.
Al-Houthi juga menggesa perhimpunan besar-besaran pada Jumaat di Sanaa dan kawasan lain di bawah kawalan Houthi bagi menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin dan untuk mengucapkan tahniah kepada Iran atas apa yang disifatkannya sebagai “kemenangan besar dan keteguhan hati”.
Kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pula menuduh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengawal secara langsung sistem peluru berpandu yang digunakan oleh pasukan Houthi.
Menteri Penerangan Moammar al-Eryani berkata Tehran menggunakan Yaman sebagai “platform peluru berpandu canggih” untuk mengancam keselamatan serantau dan antarabangsa sambil mengelak konfrontasi langsung.
Houthi, yang menguasai sebahagian besar utara Yaman, mula menyasarkan Israel pada November 2023, beberapa minggu selepas tercetusnya konflik Israel-Hamas di Gaza, dalam apa yang mereka katakan sebagai tindakan perpaduan dengan rakyat Palestin.
XINHUA