Pegawai Palestin tuduh peneroka Israel bakar masjid di Tebing Barat

Seseorang memeriksa masjid yang rosak, yang menurut penduduk Palestin telah dibakar oleh peneroka Israel, berhampiran Salfit di Tebing Barat yang diduduki Israel. (Reuters)

NABLUS – Pegawai Palestin melaporkan pada Jumaat, peneroka Israel membakar sebuah masjid di Tebing Barat diduduki, satu tindakan dikatakan polis Israel sedang disiasat.

Menurut Abdallah Kamil, gabenor Salfit, serangan itu menyasarkan masjid Bir Al-Walidain di kampung Marda.

“Sekumpulan peneroka melakukan serangan awal pagi ini dengan membakar masjid,” kata Kamil dalam satu kenyataan.

Selain pembakaran, peneroka merosakkan dinding masjid dengan “graffiti perkauman” dalam bahasa Ibrani, katanya.

Gambar-gambar dikongsi di media sosial menunjukkan slogan disembur dengan cat hitam termasuk “Kematian kepada orang Arab.”

Penduduk kampung Marda mengesahkan butiran itu, dengan seorang penduduk memberitahu AFP: “Mereka membakar pintu masuk masjid dan menulis slogan Ibrani di dindingnya.”

Seorang lagi penduduk berkata, api telah dipadamkan sebelum ia menyambar keseluruhan bangunan.

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian melihat penduduk kampung berkumpul di masjid untuk menilai tahap kerosakan.

Gabenor Kamil mendakwa bahawa peneroka sebelum ini telah memasuki kampung itu “di bawah perlindungan tentera Israel,” dan tindakan vandalisme dan grafiti yang serupa telah dilaporkan di kawasan berdekatan.

Kementerian Luar Palestin di Ramallah mengecam insiden itu, menyebutnya sebagai “tindakan perkauman terang-terangan” dan mencerminkan “kempen hasutan meluas terhadap rakyat kita yang dilakukan oleh unsur-unsur ektremis kerajaan pemerintah sayap kanan” Israel.

Polis Israel dan agensi keselamatan domestik Shin Bet menyifatkan insiden itu sebagai “sangat teruk.”

Mereka berkata mereka akan “bertindak tegas untuk memastikan akauntabiliti bagi mereka yang bertanggungjawab,” sambil menambah siasatan sedang dijalankan, dengan pihak berkuasa mengumpul keterangan dan bukti dari tempat kejadian.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel semakin memuncak sejak perang di Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu berikutan serangan Hamas ke atas Israel.

Sejak permulaan perang, sekurang-kurangnya 803 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat oleh tentera atau peneroka Israel, menurut kementerian kesihatan Palestin.

Dalam tempoh yang sama, serangan Palestin telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 warga Israel di Tebing Barat, berdasarkan data rasmi Israel.

Israel menduduki Tebing Barat sejak perang Arab-Israel 1967.

AN-AFP

You cannot copy content of this page