Murid lelaki Tahun Enam maut terkena renjatan elektrik

SERDANG — Murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, AA Anbalagan berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 6.30 petang.

“Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),”katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page