Lima sikap tercela melekat bersama harta

Diceritakan daripada Sufyan ats-Tsauri RA: “Pada zaman ini, tiada harta pada seseorang melainkan disertai oleh lima perkara, panjang angan-angan, tamak yang menguasainya, bakhil yang bersangatan, menipisnya warak dan lupa akhirat.

Menurut catatan, tokoh ulama besar ini adalah pakar dalam ilmu hadis dan bidang keilmuan yang lain. Beliau lahir di Kufah pada 97 Hijrah bersamaan 715 Masihi dan meninggal dunia di Basrah pada 161 Hijrah (778 Masihi).

1. Panjang angan-angan

Kita perlu mengelakkan diri daripada hanyut dibuai angan-angan tidak berfaedah, bahkan memperdayakan kita. Jika ada cita-cita atau keinginan dalam fikiran, pastikan ia patut dan betul serta cuba usaha agar terlaksana.

Tuhan berfirman maksudnya: “Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).” (Surah al-Hijr, ayat 3)

2. Tamak

Tamak adalah sifat manusia yang ingin memborong dan mengumpulkan semuanya. Semua disukai, walaupun tanpa mengetahui kegunaannya. Sesuatu yang ada di tangan orang lain juga ingin dimiliki dan untuk itu orang tamak akan berusaha memperolehnya. Sifat ini menghilangkan rasa malu seseorang.

Sayidina Utsman bin Affan RA dipetik sebagai berkata: “Sesiapa meninggalkan dunia, maka dia akan dicintai Allah. Sesiapa meninggalkan dosa, nescaya disukai malaikat dan sesiapa mencegah tamak terhadap orang Islam, maka dia dicintai Muslimin.”

3. Bakhil

Bakhil ialah menahan diri daripada memberi atau membelanjakan apa yang wajib dan wajar mengikut ketentuan hukum sama ada mengikut pertimbangan hukum syarak mahupun hukum adat dan maruah.

Firman Tuhan dalam surah Ali-Imran, ayat 180 bermaksud: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.

“Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi…”

4. Menipis warak

Warak ialah menjauhi perkara syubhat (perkara belum jelas halal dan haramnya) kerana takut jatuh haram. Pendapat lain, warak ialah selalu melakukan amalan baik.

Daripada an-Nukman bin Basyir RA, dia berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa perkara halal adalah jelas. Dan bahawa yang haram itu jelas. Dan antara kedua-duanya perkara syubhat (samar) yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan orang.

“Maka, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, dia menyelamatkan agama dan harga dirinya. Namun, sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat, dia terjatuh kepada keharaman.

“Umpama pengembala yang mengembala di sekitar daerah terlarang yang hampir-hampir dia mengembala di dalamnya. Ketahuilah, setiap raja memiliki daerah terlarang. Ketahuilah bahawa larangan Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya.

“Ketahuilah dan bahawa di dalam tubuh itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh tubuhnya. Dan apabila ia rosak, rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu ialah hati.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

5. Lupa akhirat

Ramai orang lupa akhirat. Mereka mengejar dunia kerana menyangka kesenangan dunia adalah segala-galanya. Padahal kehidupan dunia yang dibanggakan itu hanya sementara dan akhirat lebih baik lagi berkekalan.

Ada orang, ketika muda, bertenaga dan berkuasa bukan main lagaknya, tetapi ketika sudah tua, bersara dan kurang bertenaga, baru nak belajar agama, baru kenal ustaz dan akhirat.

Firman Tuhan dalam surah al-A’la, ayat 14 hingga 17 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh).

“Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

You cannot copy content of this page