KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Taiwan maut dipercayai terjatuh di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, Puchong dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.05 petang.
“Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang tiba di lokasi melaporkan seorang lelaki ditemui di bawah gerabak LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Individu berkenaan disyaki sudah meninggal dunia dan pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa daripada landasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khairul Hafizh Mansor, membabitkan kekuatan tujuh anggota bersama satu jentera FRT.
Katanya, mangsa yang berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
BH ONLINE
