ALOR SETAR — Seorang lelaki nyaris rentung selepas Perodua Alza dipandunya terbakar di Jalan Latar, Kampung Bukit, Pokok Sena, di sini hari ini.
Pemandu berusia 23 tahun yang beralamat di Baling mengalami luka di muka dan tangan. Mangsa diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata Balai Polis Trafik Kota Setar menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.15 pagi berkaitan kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa dipercayai dari arah Pokok Sena menghala ke Kampung Bukit.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar secara tiba-tiba.
“Bagaimanapun, pemandu berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Syed Basri berkata, kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN166/59 dan setakat ini mangsa masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang dan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, kereta dipercayai milik ibu mangsa itu musnah sepenuhnya.