Lelaki cuba rakam bawah kain wanita di Banting ditahan

SHAH ALAM — Polis berjaya menangkap seorang lelaki disyaki berkelakuan tidak sopan cuba merakam dari bawah kain seorang wanita dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan yang berumur 30an itu tidak bekerja.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku bahawa dia adalah individu terbabit sebagaimana dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Semakan mendapati, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau juga mengakui pertama kali melakukan perbuatan itu.

“Suspek yang ditangkap di Banting, ditahan reman selama dua hari sehingga esok” katanya kepada media.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita warga tempatan pada jam 10.36 pagi, 9 Disember lalu.

Mohd Akmalrizal berkata, wanita berkenaan melaporkan dia dirakam seorang lelaki tempatan ketika membeli belah di sebuah pasar raya di Jenjarom.

Katanya, selepas sedar dirakam, mangsa kemudian membuat pemeriksaan menerusi CCTV di tempat kejadian dan melihat lelaki itu mengangkat kainnya seterusnya merakam dari arah bawah kain.

Susulan itu katanya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page