Kes 1BestariNet: Tiada pertuduhan, siasatan SPRM dapati tiada unsur jenayah tender projek

KUALA LUMPUR — Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak September lalu mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya juga sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet.

Bagaimanapun, Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM mengambil langkah susulan dengan memberi tumpuan kepada siasatan dari aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak di antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.

“TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil siasatan kepada KPM. Selain itu, SPRM turut disaran mengeluarkan syor-syor penambahbaikan,” menurutt suruhanjaya berkenaan.

Antara langkah utama yang disyorkan ialah KPM kembali ke meja rundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui.

Semalam, media melaporkan YTL Communications bebas daripada sebarang salah laku dalam siasatannya terhadap projek 1BestariNet.

Terdahulu pada 4 September lalu, SPRM dilapor menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek bernilai RM4 bilion itu.

Sumber SPRM dipetik berkata, siasatan tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.

Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011, bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.

Projek itu pada awalnya dirancang untuk tempoh 15 tahun dengan peruntukan sebanyak RM4.07 bilion, namun kemudian dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan. YTL Communications hanya menyelesaikan dua fasa pertama projek yang berakhir pada Jun 2019.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page