Kelebihan jaga solat

Dunia berputar ligat. Ibarat roda berpusing laju, jika kita meletakkan sebelah kaki ke atasnya, kita boleh terhumban. Tak begitu?

Ambil contoh suasana jalan raya di pagi hari…bukan main sibuk, masing-masing memecut laju…kereta, motosikal serupa – tak kena gaya, tersadai di bahu jalan. Hati-hati!

Dalam kesibukan mengejar habuan masing-masing, ada orang lupa tanggungjawabnya terutama ibadat seperti solat. Zuhur, Asar…serupa baginya…buat tak kisah.

Sesetengahnya asyik dengan keseronokan…terpaku di depan kaca televisyen ataupun tenggelam dengan sorakan di padang dan asyik dengan aktiviti melalaikan…sehingga solat terabai, terlewat waktu. Padahal solat itu lebih utama jika dibandingkan dengan seisi dunia.

Hakikatnya, solat membuatkan hidup kita berasa bahagia dan sentosa.

Solat menjadi penyelamat dan cahaya penyeri di dunia mahupun akhirat. Justeru kita selayaknya menjaga dan mengerjakannya dengan sempurna.

Orang beriman wajib mengerjakan solat. Firman-Nya pada ayat 103, surah an-Nisa, bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang beriman, yang tertentu waktunya.”

1. Solat cegah kejahatan

Ternyata, solat adalah satu kaedah bagi mencegah diri daripada melakukan kejahatan. Ertinya, solat yang biasanya kita tunaikan dalam tempoh hanya beberapa minit itu mampu menjadi pendinding ataupun benteng daripada perbuatan jahat.

Firman-Nya pada ayat 45, surah al-Ankabut bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Dalam Riyadus Solihin, dinyatakan bahawa al-Baghawi berkata: “Perbuatan keji adalah perbuatan yang jahat, sedangkan perbuatan mungkar adalah sesuatu yang tidak dikenali syariat.”

Ibnu Mas’ud dan yang lain dilaporkan berkata: “Dalam solat itu adalah sesuatu yang boleh mencegah dan menghentikan kemaksiatan kepada Allah. Maka, sesiapa yang solatnya tidak dapat memerintahkannya pada kebaikan dan mencegah kemungkaran, solatnya itu tidak akan menambah (sesuatu) melainkan semakin jauh dari Allah.”

Dalam riwayat Imam Ahmad, Abu Hurairah RA menceritakan, seseorang datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Polan (merujuk kepada seseorang yang tidak disebutkan nama) melakukan solat malam, tetapi pada pagi harinya dia mencuri.”

Maka, Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia akan dihalangi oleh solatnya daripada hal yang engkau sebutkan.”

2. Solat hapus kejahatan

Imam Muslim meriwayatkan, Ibnu Mas’ud RA menceritakan bahawa ada seorang lelaki mencium seorang wanita, lalu dia mendatangi Nabi SAW dan mengkhabarkan kejadian itu kepada baginda.

Maka, turunlah firman Allah (yang bermaksud): “Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam.

“Sesungguhnya amal- amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud, ayat 114)

Lelaki itu lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ini khusus untukku?”

Baginda menjawab: “Untuk semua umatku.”

3. Solat sucikan diri

Abu Hurairah RA pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di depan pintu seorang daripada kalian, lalu dia mandi lima kali setiap hari di dalamnya, apakah kalian menganggap masih ada kekotoran yang tertinggal padanya?”

Sahabat menjawab: “Tidak akan ada kotoran yang tertinggal sedikit pun padanya.”

Lantas, baginda bersabda: “Seperti itu pula halnya dengan solat lima waktu, yang dengannya Allah akan menghapuskan semua kesalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Muslim, daripada Utsman bin Affan RA, dia berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim didatangi solat fardu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya, melainkan hal itu menjadi penebus dosanya terdahulu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan itu (berlaku) pada setiap zaman.”

Begitulah antara beberapa kelebihan ataupun keistimewaan bagi orang yang mengerjakan solat. Banyak lagi fungsi dan manfaatnya.

Sebab itu kita sangat dituntut untuk mengerjakannya, namun bukan dengan perasaan megah dan sambil lewa tetapi dengan tawaduk dan khusyuk.

Generasi soleh dahulu sangat menjaga solat dan kita sepatutnya meniru jejak langkah mereka yang tidak sekali-kali dilupakan oleh harta benda. Segala habuan dunia tidak langsung menggugat keimanan mereka untuk tetap memelihara solat.

Muhammad bin Sirin dilaporkan pernah berkata:

“Andai saya disuruh pilih antara solat dua rakaat dengan syurga, nescaya saya pilih solat dua rakaat kerana dengan dua rakaat itu tercapai reda Allah, sedangkan di dalam syurga hanya kepuasan nafsuku.”

Bagaimana agaknya dengan kita, jika hendak dibandingkan dengan kesungguhan generasi soleh dahulu? Mereka mengutamakan solat, tetapi kita…?

Pesan Qatadah: “Jagalah solat kerana ia sebaik-baik akhlak bagi orang beriman.”

You cannot copy content of this page