Dosa terakhir

Foto hiasan

Ibnu Athaillah memberikan rumusan dalam kalam (ungkapan) hikmahnya sebagaimana (dapat difahami) seperti berikut:

“Apabila tertimpa pada dirimu suatu dosa, maka janganlah dosa itu menjadi sebab putus asa kamu daripada menghasilkan istiqamah di sisi Tuhanmu. (Sebab) yang demikian itu (kadang-kadang) sebagai dosa terakhir ditakdirkan ke atasmu.”

Manusia adalah makhluk yang lemah, tidak terlepas daripada berbuat dosa kepada Allah atau sesama manusia, sama ada disengajakan atau tidak.

Meskipun telah melakukan dosa, seseorang seharusnya tidak berputus asa, tetapi hendaklah dia fikir dan yakin bahawa pintu taubat masih terbuka untuknya.

Dengan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dosa dan kesalahan dapat diampunkan oleh-Nya, dengan syarat bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benar).

Dengan sebab dosa yang dilakukan, janganlah sampai membawa kemunduran dalam melaksanakan ibadat. Hendaklah keadaan yang demikian itu mendorong untuk kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.

Apabila jatuh, jangan dibiarkan diri terus jatuh, tetapi bangunlah. Apabila berdiri, janganlah dibiarkan laksana patung sebagai benda kaku, tetapi perbaharuilah jiwa dan semangat untuk melangkah ke depan. Bahkan kalau boleh berlari secepat mungkin untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan. Siapa tahu, barangkali dosa itu adalah dosa terakhir.

Firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad); wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat) janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Seseorang dapat terhindar daripada perbuatan maksiat (perbuatan dosa) menerusi tiga perkara:

1. Rajin dan istiqamah dalam bertaubat kepada Allah, iaitu berterusan bertaubat dalam setiap waktu. Contohnya, setiap malam selepas solat Isyak atau setiap hari selepas solat Subuh. Sama ada telah melakukan dosa atau tidak, hendaknya seseorang bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya. Ini adalah satu usaha untuk menghindarkan diri daripada dosa.

2. Cara secara langsung daripada Allah. Dengan kehendak Dia seseorang dapat terhindar daripada segala dosa – mungkin dengan cara mematikan seseorang itu sebelum dia terjebak dalam perbuatan dosa.

3. Dengan cara adanya pelbagai rintangan. Maksudnya seseorang tidak sampai terjerumus kepada perbuatan maksiat kerana adanya pelbagai halangan yang menyebabkan dia terhindar daripada dosa.

Apa yang penting ialah, jika kita tidak terlintas lagi untuk mengerjakan dosa, baik dosa besar mahupun kecil, bererti diri kita sudah terlepas daripada hakikat mengekalkan dosa.

Di sini, ditekankan beberapa perkara:

* Manusia umumnya tidak terlepas daripada dosa. Namun, sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang sedar dan insaf bahawa dirinya telah melakukan maksiat (perkara dosa).

* Manusia yang sedar dan insaf itu ialah orang yang selalu bertaubat kepada Allah, mengharapkan keampunan dan kasih sayang-Nya.

* Orang yang mengerjakan dosa laksana jatuh. Justeru jangan dibiarkan diri jatuh dan terus jatuh, tetapi hendaknya dia bangun, berdiri tegak, bersiap dan berjalan menuju ke tempat yang menjadi tujuan. Seseorang tidak harus patah semangat untuk menghampirkan diri kepada Allah dengan sebab telah melakukan dosa. Sebab dosa itu dapat diampunkan oleh Allah, jika dia bertaubat dengan taubat nasuha. Siapa tahu dengan berkat taubat itu, maka dosa dilakukan itu adalah penutup segala dosa, seterusnya menjadi ahli ibadat yang istiqamah.

Rujukan – Nasoihul Ibad, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

You cannot copy content of this page