COVID-19: Anwar dan 24 yang lain diarah jawab saman 8 individu 20 Januari

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Isnin lalu, mengarahkan 25 pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab saman dikemukakan lapan rakyat Malaysia berhubung dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian berikutan vaksin COVID-19.

FMT melaporkan, peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar berkata, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan mengarahkan kesemua defendan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 20 Januari ini.

Antara defendan lain ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech Ltd.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Adham Baba, selain Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada pengurusan kes itu pada Isnin lalu, Raja Ahmad Mohzanuddin turut mengarahkan lapan plaintif terbabit memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 20 Februari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 5 Februari ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perkembangan kes saman bagi menuntut ganti rugi RM60 juta.

Tuntutan saman sivil itu dikemukakan terhadap 25 defendan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.

Antara plaintif tersebut adalah seorang doktor mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu, selain seorang anak lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab sama.

Individu lain ialah lelaki yang isterinya didakwa meninggal dunia selepas mengambil dos pertama dan kedua.

Saman itu turut melibatkan seorang pekerja sebuah syarikat pengurusan amanah yang mendakwa diarahkan mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela kerana enggan mengambil vaksin.

Plaintif mendakwa, WHO membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik COVID-19 pada 11 Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa COVID-19 adalah palsu, pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema bermusim.

Mereka juga meminta deklarasi mahkamah untuk memaksa Malaysia menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta menuntut ganti rugi am, khas dan teladan.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page