Kategori: NEWS

  • Tuduhan ke atas Rosmah ikut undang-undang: Pendakwaan

    KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan menegaskan 12 kes pengubahan wang haram dan lima tuduhan mengelak cukai yang dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam hujahannya berkata, 17 pertuduhan jenayah itu sah dan mengandungi butiran mencukupi bagi memaklumkan Rosmah mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya.

    Ahmad Akram yang berhujah bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan itu, berkata, ia bagi memboleh isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan pembelaan sewajarnya.

    Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

    Bagi pertuduhan berkaitan LHDN pula, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

    Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

    Sementara itu, Ahmad Akram menyangkal hujahan peguam bela Rosmah bahawa pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah cacat kerana ia bertindih, dengan alasan membabitkan subjek yang sama.

    Ahmad Akram berkata, hujahan pembelaan itu bagaimanapun, gagal mengiktiraf prinsip undang-undang asas yang mengawal kaedah pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.

    “Pertuduhan yang dipersoalkan itu tidak bertindih, dan juga tidak cacat, sebaliknya ia mencerminkan tindakan jenayah yang berbeza.

    “Setiap satunya berlaku pada masa yang berbeza, dan setiap satu memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop kelakuan tertuduh,” katanya.

    Ahmad Akram berkata, jika pihak pendakwaan ingin menyatukan semua pertuduhan ini,ia tidak menggambarkan kesalahan yang didakwa dan menjejaskankeperluan undang-undang bagi merangka.dakwaan yang tepat dan berasingan bagi setiap perbuatan salah laku.

    Sementara itu, Peguam, Amer Hamzah yang mewakili Rosmah, menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya itu cacat dan salah di sisi undang-undang, serta menegaskan bahawa Rosmah harus dibebaskan.

    Ahmad Akram bagaimanapun membalas hujahan itu dengan menyatakan. apa sahaja yang dibangkitkan oleh pembelaan adalah pra-matang pada peringkat ini dan sepatutnya dipertimbangkan oleh mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim K Muniandy kemudian menetapkan pada 19 Disember ini untuk membuat keputusan.

    BH ONLINE

  • 7 daripada 10 orang Korea Selatan mengatakan pasangan boleh hidup bersama tanpa perkahwinan

    SEOUL — Hampir tujuh daripada 10 rakyat Korea Selatan berkata pasangan boleh hidup bersama tanpa perkahwinan, manakala hampir empat daripada 10 menjawab bahawa pasangan boleh mempunyai bayi luar nikah, satu tinjauan pejabat statistik menunjukkan pada Selasa.

    Menurut tinjauan Statistik Korea ke atas kira-kira 36,000 responden berumur 13 tahun ke atas yang dijalankan antara 15 Mei dan 30 Mei, 67.4 peratus mengatakan pasangan boleh hidup bersama tanpa mempunyai ikatan (kahwin).

    Sokongan untuk bersekedudukan meningkat daripada 46.6 peratus pada 2014 kepada 56.4 peratus pada 2018 dan 65.2 peratus pada 2022.

    Daripada jumlah responden tahun ini, 37.2 peratus berkata pasangan boleh melahirkan anak tanpa berkahwin.

    Nisbah itu juga meningkat daripada 22.5 peratus pada 2014 kepada 30.3 peratus pada 2018 dan 34.7 peratus pada 2022.

    Mereka yang menjawab bahawa orang mesti atau lebih baik berkahwin mencapai 52.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tahun ini, turun naik daripada 56.8 peratus pada 2014 kepada 48.1 peratus pada 2018 dan 50.0 peratus pada 2022.

    Apabila ditanya mengapa mereka enggan berkahwin, 31.3 peratus menyatakan kekurangan wang untuk perkahwinan, diikuti oleh 15.4 peratus dengan beban melahirkan dan membesarkan dan 12.9 peratus dengan ketidakstabilan pekerjaan.

    XINHUA

  • Bekas juruterbang AirAsia dapat pampasan RM268,620 kerana dipecat secara konstruktif

    KUALA LUMPUR — Bekas juruterbang syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad berjaya mendapatkan pampasan RM268,620 selepas Mahkamah Perusahaan memutuskan beliau dipecat secara konstruktif daripada pekerjaannya.

    Pemecatan konstruktif ialah istilah undang-undang menggambarkan situasi yang mana pekerja meletakkan jawatan dalam protes kerana tindakan majikan yang melanggar syarat asas kontrak pekerjaan.

    Juruterbang terbabit, Eric Koh Kim Lai yang bekerja dengan syarikat penerbangan itu bermula Julai 2018 meletak jawatan selepas digantung kerja pada 2022 akibat pandemik COVID-19.

    Ketika itu, syarikat memotong gaji asas Kim Lai sebanyak 75 peratus, dengan mengaitkan pengurangan itu kepada penerbangan yang dibatalkan disebabkan oleh sekatan sempadan.

    Kim Lai mendakwa dia terpaksa meletakkan jawatan kerana keputusan untuk mengurangkan gaji menjejaskan mata pencariannya.

    Bagaimanapun, AirAsia menyatakan bahawa Kim Lai (pihak penuntut) mengemukakan peletakan jawatannya secara sukarela pada 27 April 2022 dan memaklumkan hari terakhirnya bekerja berkuat kuasa pada 4 Mei 2022.

    Syarikat itu juga mendakwa gaji terakhir Kim Lai ialah pada RM3,630.00.

    Mahkamah Perusahaan pada 7 November lalu, bagaimanapun membenarkan tuntutan Kim Lai dan memerintahkan AirAsia membayar pampasan itu selepas memutuskan bahawa, meletakkan pekerja dengan cuti tanpa gaji dan mengurangkan gaji sehingga tempoh yang tidak ditentukan, bukan amalan buruh yang adil.

    Dalam keputusannya, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Vanithamany Sivalingam memerintahkan AirAsia membayar gaji tertunggak Kim Lai selama 24 bulan dan pampasan sebagai ganti pengembalian semula gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan.

    Berdasarkan kepada kes Kim Lai, pada 1 Julai 2020, syarikat mengeluarkan surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan lapan hari cuti tanpa gaji bermula Jun 2020 dan seterusnya sehingga diberitahu kelak.

    Dengan itu, gaji beliau telah dikurangkan daripada RM13,000 kepada RM9,000 iaitu penurunan sebanyak 31 peratus.

    Pada 6 Oktober 2020, syarikat mengeluarkan satu lagi surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan 15 hari cuti tanpa gaji sehingga diberitahu kelak, di mana gajinya dikurangkan lagi daripada RM9,000 kepada RM5,500 iaitu penurunan sebanyak 57 peratus.

    Dalam penghakimannya, Vanithamany berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa ia bukan sebahagian daripada syarat kontrak (kontrak pekerjaan pertama) bahawa gaji pihak penuntut adalah berdasarkan bilangan dia melakukan penerbangan.

    Beliau berkata, bukan Kim Lai yang enggan melaksanakan tugasnya, tetapi ia disebabkan oleh pandemik bahawa pesawat itu dilarang beroperasi.

    Katanya, bagi syarikat untuk membayangkan bahawa ia telah cukup bermurah hati untuk membayar (gaji) walaupun penuntut tidak melakukan penerbangan pada tempoh tertentu, adalah hujahan yang tidak boleh dipertahankan.

    “Ia adalah terma asas kontrak bahawa syarikat membayar kepada pihak penuntut, gaji yang dipersetujui dengan segera mengikut terma dan syarat yang dibentangkan dalam kontrak pertama,” katanya.

    Pengerusi Mahkamah Perusahaan itu selanjutnya berkata, pihak penuntut memberi kerjasama dan bertolak ansur dengan cuti tidak berbayar dan pengurangan gaji sebanyak 75 peratus.

    Vanithamany berkata, tambahan pula beliau juga tidak dibayar gaji selama 11 bulan yang diakui syarikat mulai Jun 2020.

    Menurut pengerusi itu, Kim Lai juga tidak mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan atas sebab lain, dan beliau meletak jawatan selepas dua minggu dari tarikh perjumpaan ‘townhall’ diadakan.

    Katanya, syarikat itu gagal membuktikan sebab mengapa ia melaksanakan penggantungan kali ketiga dan mengapa gaji pihak penuntut dikurangkan kepada 30 peratus dengan cuti tanpa gaji.

    “Sebaliknya, pihak yang menuntut telah membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sebab dia meninggalkan syarikat adalah kerana tindakan syarikat.

    “Pekerjaan adalah sebahagian daripada rezeki seseorang.

    “Jika pekerja memutuskan untuk meninggalkan syarikat kerana layanan tidak adil, penindasan atau penganiayaan, dia pasti memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusannya kerana ia mungkin menjejaskan mata pencarian dan komitmennya,” katanya.

    Vanithamany berkata, Kim Lai perlu memilih antara meneruskan pekerjaan tanpa gaji atau mengambil risiko kehilangan pekerjaan.

    Beliau berkata, apabila syarikat memungkiri janji yang dibuat dalam perjumpaan townhall pada 25 November 2021, Kim Lai memutuskan bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan pekerjaan itu kerana dia tidak dapat mengekalkannya lagi.

    Jelasnya, pada masa itu, pihak yang menuntut meneruskan pekerjaannya dengan syarikat terbabit selama hampir dua tahun dengan gaji minimum dan tanpa sebarang gaji selama 11 bulan.

    Beliau berkata syarikat itu dalam hujahannya bagaimanapun menyatakan bahawa sebab penuntut meninggalkan syarikat adalah kerana dia memperoleh pekerjaan lain.

    Katanya, pihak penuntut telah mendapat pekerjaan lain untuk menyara hidupnya dan tidak ada yang salah mengenainya.

    BH ONLINE

  • Polis tahan 4 lelaki berkait kes rogol remaja 14 tahun

    BALIK PULAU — Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir remaja perempuan berusia 14 tahun di Sungai Ara, dekat sini kelmarin.

    Mereka berusia 20 hingga 25 tahun ditahan di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas semalam selepas mangsa membuat laporan polis.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata mangsa masih bersekolah, mendakwa keluar rumah jam 12.30 pagi dan mengikut suspek pertama bersiar-siar dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Relau, di sini.

    Katanya, mangsa kemudian mendakwa dibawa ke rumah sewa suspek berkenaan pada jam 2 pagi sebelum dirogol lelaki terbabit dan selepas itu, suspek kedua dan ketiga yang tidak dikenalinya datang dan melakukan perbuatan sama.

    “Tiga suspek berkenaan bersama mangsa kemudian keluar menonton lumba motosikal di Bayan Baru sebelum remaja itu dirogol sekali lagi secara bergilir-gilir oleh mereka sebaik pulang ke rumah sama,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini.

    Katanya, mangsa mengenali suspek pertama pada April lalu menerusi kenalan, tapi tidak mengenali suspek lain.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Anak lapor polis selepas simpan mayat ibu dalam kotak ais sejak 2021

    KUALA LUMPUR — Polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam kotak ais selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

    Terdahulu anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis sebelum memaklumkan kejadian itu.

    Sumber berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek turut berada bersebelahan kotak ais berkenaan ketika polis tiba di lokasi kejadian.

    Menurut sumber anak mangsa yang juga suspek memaklumkan kepada polis dia membunuh ibunya pada 2021 sebelum menyimpannya dalam dalam kotak ais.

    Pada masa ini sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi BH mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

    BH ONLINE

  • 3 dimasukkan ke hospital berikutan kebakaran rumah disebabkan e-skuter di Sydney

    SYDNEY — Tiga orang telah dimasukkan ke hospital selepas kebakaran rumah di Sydney, ibu kota negara di New South Wales (NSW), Australia, yang dipercayai oleh pihak berkuasa tercetus oleh bateri sebuah e-skuter yang sedang mengecas pada Selasa.

    Bomba dan Penyelamat NSW (FRNSW) berkata dalam satu kenyataan pada pagi Selasa, anggota bomba dipanggil ke rumah di Woronora, pinggir bandar kira-kira 20 km ke selatan pusat Sydney, sejurus sebelum 3 pagi waktu tempatan pada Selasa.

    Setibanya, bomba mendapati garaj rumah itu terbakar sepenuhnya, dengan api mula mengancam kediaman utama, kata FRNSW.

    Lima orang melarikan diri dari kebakaran itu, bagaimanapun tiga telah dibawa ke hospital kerana terhidu asap, dengan seorang turut mengalami lecur serius.

    Selepas pemeriksaan awal, penyiasat FRNSW percaya bateri pengecasan e-skuter gagal, menyebabkan ia masuk ke “thermal runaway”, mencetuskan kebakaran.

    FRNSW berkata ia telah bertindak balas terhadap 81 kemalangan mikromobiliti tahun ini, iaitu kadar purata dua seminggu.

    XINHUA

  • Nahas jalan raya ragut 3 nyawa, 2 cedera di utara Afghanistan

    SHIBIRGAN, Afghanistan — Tiga penumpang termasuk seorang wanita maut, dan dua lagi cedera ketika sebuah kereta melencong dari jalan raya di wilayah Jawzjan di utara Afghanistan pada Isnin, kata pengarah wilayah bagi Polis Trafik Mullah Shabir Ahmadi pada Selasa.

    Menyalahkan pemanduan melulu bagi kemalangan maut itu, pegawai itu menambah bahawa kedua-dua pengembara yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak, berada dalam keadaan kritikal.

    Kemalangan serupa menyebabkan lima penumpang cedera di daerah Shibar di wilayah Bamiyan tengah pada hari yang sama Isnin.

    XINHUA

    3 dimasukkan ke hospital berikutan kebakaran rumah Sydney disebabkan oleh e-skuter

    SYDNEY – Tiga orang telah dimasukkan ke hospital selepas kebakaran rumah di Sydney, ibu kota negara bagian New South Wales (NSW), Australia, yang dipercayai oleh pihak berkuasa tercetus oleh bateri sebuah e-skuter yang sedang mengecas pada Selasa.

    Bomba dan Penyelamat NSW (FRNSW) berkata dalam satu kenyataan pada pagi Selasa bahawa anggota bomba dipanggil ke rumah di Woronora, pinggir bandar kira-kira 20 km ke selatan pusat Sydney, sejurus sebelum 3 pagi waktu tempatan pada hari Selasa.

    Setibanya, bomba mendapati garaj rumah itu terbakar sepenuhnya, dengan api mula mengancam kediaman utama, kata FRNSW.

    Lima orang melarikan diri dari kebakaran itu, bagaimanapun tiga telah dibawa ke hospital untuk terhidu asap, dengan seorang turut mengalami melecur serius.

    Selepas pemeriksaan awal, penyiasat FRNSW percaya bahawa bateri e-skuter pengecasan gagal, menyebabkan ia masuk ke “pelarian haba”, mencetuskan kebakaran.

    FRNSW berkata ia telah bertindak balas terhadap 81 kemalangan mikromobiliti tahun ini, iaitu kadar purata dua seminggu.

    XINHUA

  • Tentera Israel berkata empat askar terbunuh di utara Semenanjung Gaza

    JERUSALEM — Tentera Israel berkata pada Selasa, empat askarnya terbunuh di utara Semenanjung Gaza.

    Ia berkata dalam satu kenyataan bahawa keempat-empatnya “gugur semasa pertempuran di utara Semenanjung Gaza” pada Isnin, menjadikan jumlah askar Israel yang terbunuh di wilayah Palestin sejak permulaan operasi darat pada Oktober tahun lalu kepada 376 orang.

    AN-AFP

  • PTPTN: 2.7 juta peminjam belum bayar balik RM32.29 bilion

    KUALA LUMPUR — Sebanyak RM32.29 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), daripada RM71.3 bilion berada dalam kategori ‘sepatutnya dibayar balik’ oleh 2,716,110 peminjam.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata jumlah pinjaman yang sepatutnya dibayar balik itu direkodkan hingga 31 Disember lalu.

    “Hingga 31 Disember 2023, PTPTN sudah meluluskan 3,951,404 pinjaman dengan jumlah keseluruhan dikeluarkan sebanyak RM71.3 bilion.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 2,716,110 pinjaman sudah patut mula dibayar balik dengan amaun patut bayar balik keseluruhan berjumlah RM32.29 bilion,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

    Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta menteri pendidikan tinggi supaya menyatakan jumlah hutang keseluruhan yang terakru atau terhutang oleh pelajar di bawah pinjaman PTPTN setakat tahun 2023.

    Hok Liong juga ingin tahu jumlah keseluruhan peminjam Melayu, Cina dan India setakat tahun 2023 dan peratusan peminjam Melayu, Cina dan India yang berhutang sehingga tahun 2023.

    Menurut Zambry, seramai 2,842,682 peminjam atau mewakili 71.9 peratus, adalah terdiri daripada Bumiputera.

    Namun beliau berkata, tiada kuota atau peruntukan khusus ditetapkan kementerian membabitkan kemudahan pinjaman PTPTN.

    Sebaliknya beliau berkata, ia terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta politeknik.

    “Ia perlu memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tanpa ada kuota atau peruntukan khusus yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat-syarat lain yang ditetapkan.

    “Namun jumlah kelulusan adalah bergantung kepada permohonan yang diterima dan syarat lain yang ditetapkan, di mana sebanyak 2,842,682 pinjaman atau 71.9 peratus adalah kaum Bumiputera.

    “Sementara 1,108,722 atau 28.1 peratus pinjaman adalah bukan Bumiputera,” katanya.

    BH ONLINE

  • Banjir di Raub dan Lipis pulih sepenuhnya

    KUANTAN: Banjir di daerah Raub dan Lipis pulih sepenuhnya selepas lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 441 mangsa daripada 127 keluarga ditutup hari ini.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub memaklumkan bahawa banjir yang melanda Raub sejak Ahad lepas telah menyebabkan pembukaan enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga.

    “Cuaca semakin baik dan banjir mula surut secara berperingkat pada petang semalam. Mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 9 pagi ini. Bagaimanapun, penduduk dinasihati supaya terus peka dengan kenaikan paras sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Sekretariat JPBD Lipis memaklumkan bahawa dua PPS yang dibuka semalam dan menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga, juga akan ditutup hari ini secara berperingkat.

    “Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui yang menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dijangka ditutup pada pukul 10 pagi ini, manakala Dewan Semai Bakti Felda Kechaui yang menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga, dijangka ditutup pada 12 tengah hari ini,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh pada Ahad lepas, diikuti dengan Lipis.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Bimbang banjir ketika Ukraine berkata serangan Rusia rosakkan empangan

    KYIV, Ukraine — Serangan Rusia pada Isnin merosakkan empangan berhampiran barisan hadapan di wilayah Donetsk timur Ukraine, kata pihak berkuasa Ukraine, memberi amaran kepada kampung berhampiran mungkin terancam dengan peningkatan paras air.

    Ukraine juga berkata serangan Rusia membunuh sekurang-kurangnya tiga orang di tengah negara itu, dengan operasi menyelamat sedang dijalankan di bandar Kryvyi Rig.

    Ia berlaku selepas negara-negara yang bertelagah menyerang satu sama lain dengan serangan dron besar-besaran pada hujung minggu dan ketika masa depan jangka panjang sokongan AS untuk Ukraine tergantung di udara selepas pemilihan Donald Trump.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah berlarutan selama hampir tiga tahun.

    Tentera Moscow kini bergerak pantas di wilayah Donetsk dan mendekati bandar Kurakhove, yang terletak di sebelah takungan dan mempunyai populasi sebelum perang sekitar 10,000 orang.

    “Rusia merosakkan empangan takungan Kurakhove. Serangan ini berpotensi mengancam penduduk penempatan di Sungai Vovcha, kedua-duanya di wilayah Donetsk dan Dnipro,” kata Gabenor wilayah itu Vadym Filashkin.

    “Sehingga 16:00, paras air di sungai dalam komuniti Velykonovosilkivska telah meningkat sebanyak 1.2 meter (empat kaki). Tiada banjir dilaporkan setakat ini!” dia menyiarkan di media sosial.

    Empangan ini terletak di kampung Stari Terny, barat Kurakhove.

    Kumpulan alam sekitar antarabangsa telah memberi amaran tentang kesan buruk pencerobohan Rusia terhadap alam semula jadi Ukraine.

    Pada Jun tahun lalu, sebuah empangan besar era Soviet di wilayah Kherson selatan Ukraine telah diletupkan, mencurahkan berbilion liter air ke hilir dan membanjiri berpuluh-puluh kampung di tebing Sungai Dnipro.

    Kyiv berkata Rusia, yang tenteranya mengawal empangan pada masa itu, meletupkannya untuk menggagalkan serangan balas Ukraine. Moscow menyalahkan Ukraine.

    Berpuluh-puluh terbunuh dalam banjir berikutan letupan itu, yang turut menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar di selatan Ukraine.

    Rusia turut menyasarkan bandar Nikopol dan Kryvyi Rig di tengah Ukraine pada Isnin.

    Serangan Moscow membunuh dua orang di Nikopol, kata gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Sergiy Lysak.

    Di Kryvyi Rig, bandar asal Presiden Volodymyr Zelensky, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dengan sekurang-kurangnya seorang maut dan 14 orang cedera selepas serangan Rusia di bandar itu.

    Ketua bandar itu, Oleksandr Vilkul, berkata mayat seorang wanita ditarik keluar dari runtuhan.

    Kryvyi Rig telah kerap diserang oleh serangan Rusia.

    Serangan itu berlaku sehari selepas Moscow dan Kyiv melancarkan serangan dron rekod antara satu sama lain pada Ahad.

    Pemilihan Trump telah menimbulkan persoalan tentang masa depan konflik, dengan Republikan secara lantang mengkritik bantuan Amerika Syarikat kepada Ukraine.

    Sepanjang kempen presidennya, Trump berikrar bahawa dia akan menamatkan perang dengan pantas, tanpa memberikan butiran bagaimana.

    Melawat Ukraine pada Isnin, ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell memberi amaran bahawa membiarkan Rusia menang di Ukraine akan mewakili kerugian bagi Amerika Syarikat.

    “Sudah tentu ia tidak akan menjadi kemenangan bagi kepimpinan Amerika jika Ukraine runtuh dan Putin memenangi perang,” kata Borrell kepada AFP pada lawatan pertama ke Kyiv oleh seorang pegawai kanan EU sejak kemenangan pilihan raya Trump.

    AN-AFP

  • 4 maut selepas bas terbalik di barat Iran

    TEHRAN — Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 42 yang lain cedera selepas sebuah bas terbalik pada Isnin di jalan antara bandar di wilayah Kurdestan, Iran barat, lapor agensi berita separuh rasmi Tasnim awal Selasa.

    Empat puluh dua lagi cedera dalam kemalangan itu, yang berlaku di daerah Qorveh pada 20:40 waktu tempatan (1710 GMT), kata laporan itu.

    Terdapat 46 penumpang dalam bas ketika kemalangan itu berlaku di daerah Qorveh pada 20:40 waktu tempatan (1710 GMT), Hossein Jafari, ketua perkhidmatan perubatan kecemasan Universiti Sains Perubatan Kurdestan, dipetik sebagai berkata.

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke pusat perubatan di wilayah itu, tambahnya.

    Agensi berita rasmi IRNA berkata jalan licin dan terlalu laju mungkin menjadi faktor di sebalik kemalangan itu.

    XINHUA

  • AS lancar serangan terhadap sasaran berkaitan Iran di Syria

    WASHINGTON — Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pada Isnin ia melakukan serangan terhadap sembilan sasaran dikaitkan dengan kumpulan Iran di Syria.

    Dalam satu kenyataan, tentera AS berkata serangan itu terhadap dua lokasi di Syria dan tindak balas terhadap beberapa serangan ke atas kakitangan AS di Syria dalam tempoh 24 jam lalu.

    REUTERS

  • Wanita maut terjatuh bangunan di Bukit Bintang

    KUALA LUMPUR — Wanita maut selepas terjatuh dari bangunan bersebelahan pusat beli-belah terkenal di Jalan Bukit Bintang, di sini, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi dan menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

    Komander Operasi JPBM, Md Fuad Selamat berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dibantu BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi.

    Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, seorang wanita terjatuh di atas bumbung bangunan dari tingkat yang tidak dikenal pasti.

    “Mangsa dikeluarkan pada jam 7.48 pagi dengan bantuan skylift pihak bangunan sebelum anggota bomba menurunkan mangsa ke bawah dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    BH ONLINE

  • Suami isteri didakwa perdagang wanita Malaysia ke Yaman

    KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan ke Yaman, tahun lalu.

    Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadijah Yusoff, 31, didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun bagi maksud eksploitasi di sebuah rumah tidak bernombor di Tarim, Yaman, antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lalu.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan jaminan atas alasan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan yang dieksploitasi ke luar negara.

    “Sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan,” katanya.

    Peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan keluarga mereka tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.

    “Saya mohon supaya anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

    Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • ‘Inspektor Sheila’ dilepas, dibebaskan dari tuduhan hina peguam

    SELAYANG — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ atas pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu selepas mangsa, P Taneswaran, 41, yang juga saksi tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, ketika mahu memberi keterangan dalam perbicaraan pertama hari ini.

    Pada 26 Jun tahun lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan Taneswaran dengan berkata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu.”

    Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak di sini, pada 1 tengahari, 15 Jun 2023.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, Manoharan ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan selepas Taneswaran memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila.

    “Perbicaraan kes sepatutnya dijadualkan bermula hari ini, namun mangsa tidak mahu meneruskan prosiding. Mendengar perkara itu, majistret kemudiannya membebaskan anak guam saya,” katanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal.

    Tertuduh bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes iaitu mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa pada jam 12 tengah hari, pada tarikh dan lokasi sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, di lokasi sama pada jam 1.25 tengahari 15 Jun tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    BH ONLINE

  • 50 roket rentas ke Israel dari Lubnan, mencederakan 3

    JERUSALEM — Sekitar 50 roket ditembak dari Lubnan ke utara Israel pada tengah hari Isnin, mencederakan tiga orang, ketika tentera Israel bersiap sedia untuk melancarkan serangan baharu ke atas berpuluh-puluh kampung di selatan Lubnan.

    Roket itu, dilepaskan dalam masa kira-kira 30 minit, mencetuskan siren amaran serangan udara merentasi Galilee Atas dan Galilea Barat.

    “Beberapa peluru telah dipintas dan ada yang jatuh di kawasan itu,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.

    Perkhidmatan menyelamat Magen David Adom Israel melaporkan seorang bayi dan seorang lelaki cedera ringan, dan seorang wanita mengalami kecederaan sederhana akibat serpihan.

    Avichay Adraee, jurucakap IDF, menyiarkan di platform X seruan agar penduduk di 21 kampung di selatan Lubnan meninggalkan rumah mereka “segera” kerana serangan IDF yang akan berlaku di kawasan itu.
    “Mana-mana rumah yang digunakan oleh Hizbullah untuk tujuan ketenteraannya dijangka menjadi sasaran,” kata kenyataan itu.

    XINHUA

  • Letusan Lewotobi di Indonesia memindahkan lebih 12,000 apabila zon bahaya meluas

    JAKARTA — Gunung Lewotobi, yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur Indonesia, meletus lagi pada Isnin, memaksa lebih 12,000 penduduk berpindah, menurut Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi dan seorang pegawai tempatan.

    Gunung berapi itu, yang terletak di Kabupaten Flores Timur, mengeluarkan kolum abu cecah sehingga 2,500 meter ke langit, dengan abu merebak ke arah barat dan barat laut, kata agensi bencana itu.

    Disebabkan peningkatan aktiviti letusan, zon bahaya di sekitar kawah telah diperluaskan daripada 7 km kepada 9.

    “Pelanjutan zon bahaya telah mendorong pemindahan tambahan. Sehingga hari ini, lebih 12,000 penduduk telah mencari perlindungan,” Richard Felt, seorang pegawai kanan dengan agensi pengurusan dan mitigasi bencana wilayah, memberitahu Xinhua pada Isnin.

    “Kami telah menasihatkan semua masyarakat dalam radius 12km dari kawah supaya berpindah,” tambahnya.

    Agensi dan pihak berkuasa tempatan telah menubuhkan sekurang-kurangnya tiga pusat pemindahan untuk menyokong penduduk yang berpindah, menawarkan logistik, rawatan perubatan dan bekalan penting. Selain pusat perlindungan rasmi, ramai mangsa yang dipindahkan telah ditempatkan oleh saudara- mara di kawasan yang lebih selamat, kata Felt.

    Letusan ini susulan kejadian baru-baru ini pada 4 November, yang mengakibatkan 10 maut, 63 orang cedera, dan lebih 4,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

    Awan panas letusan sebelum ini dan serpihan gunung berapi memusnahkan ratusan bangunan dan mencetuskan kebakaran di seluruh kawasan terjejas.

    Setinggi 1,584 meter, Gunung Lewotobi adalah salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.

    XINHUA

  • Taiwan tutup kes alat kelui meletup, kata tidak dibuat oleh firma Taiwan

    TAIPEI — Taiwan pada Isnin berkata ia menutup siasatan ke atas alat kelui yang meletup di Lubnan pada September dan menyebabkan tamparan maut kepada Hizbullah disokong Iran, dengan mengatakan tiada rakyat atau syarikat Taiwan terlibat.

    Media Israel melaporkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu semasa mesyuarat kabinet, memberitahu menteri bahawa pegawai kanan pertahanan dan tokoh politik menentang letupan alat kelui tetapi dia meneruskan operasi itu.

    Sumber keselamatan sebelum ini berkata alat kelui itu membawa nama Gold Apollo yang berpangkalan di Taiwan, sebuah syarikat yang telah menegaskan bahawa ia tidak membuatnya.

    Kerajaan Taiwan juga berkata alat kelui itu tidak dibuat di Taiwan.

    Pendakwa raya Taipei, yang sedang menyiasat kes itu, berkata dalam satu kenyataan, model alat kelui AR-924 yang meletup di Lubnan telah dikilangkan, didagangkan dan dihantar oleh firma bernama Frontier Group Entity, dan dibuat di luar Taiwan.

    Mereka menambah, bagaimanapun, Gold Apollo telah membenarkan syarikat itu untuk menggunakan tanda dagangan Apollo.

    “Tiada bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana pengilang atau individu domestik bersubahat dalam letupan yang berkaitan, melanggar Akta Pembiayaan Counter-Terrorism, atau terlibat dalam aktiviti haram lain,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan.

    “Tiada bukti konkrit aktiviti jenayah ditemui dalam kes ini, mahupun mana-mana individu tertentu terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah, berikutan siasatan menyeluruh.”

    Pendakwa raya sebelum ini mengesahkan bahawa mereka menyoal presiden dan pengasas Gold Apollo, Hsu Ching-kuang dan seorang wanita bernama Teresa Wu, pekerja tunggal sebuah syarikat bernama Apollo Systems Ltd.

    Dalam kenyataan mereka, pihak pendakwa berkata Wu bertindak sebagai penghubung dengan Frontier, tetapi tiada bukti dia “mempunyai pengetahuan terdahulu atau mengambil bahagian dalam sebarang konspirasi atau kerjasama yang berkaitan dengan insiden letupan”.

    Pendakwa raya berkata terdapat beberapa maklumat yang mereka tidak tahu, termasuk identiti sebenar pekerja Frontier yang berkomunikasi dengan Wu.

    Ia berkata seorang dipanggil “T” dan mungkin ketua Frontier, manakala seorang lagi dipanggil “M” dan mungkin pengarah jualan.

    Gold Apollo memberitahu Reuters ia juga baru melihat kenyataan pendakwa raya, dan ia tidak dapat mengulas lanjut dengan segera.

    REUTERS

  • Tiada serangan peluru berpandu Rusia ke atas Ukraine selepas negara berjaga-jaga

    Orang ramai berlindung di dalam stesen metro semasa amaran serbuan udara, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di Kyiv, Ukraine 11 November 2024. REUTERS

    KYIV — Tiada peluru berpandu Rusia sampai ke Ukraine pada Isnin selepas tentera udara meletakkan negara itu dalam keadaan berjaga-jaga, melaporkan bahawa sejumlah besar pengebom berlepas dari wilayah Rusia buat kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan.

    Dalam menjangkakan apa yang dijangkakan oleh tentera sebagai serangan besar-besaran, Ukraine memperkenalkan pemadaman kuasa pencegahan dan menggesa orang ramai di seluruh negara untuk mencari perlindungan.

    “Amaran udara itu berkaitan dengan pelancaran peluru berpandu jelajah dari pengebom strategik Tu-95MS,” kata tentera udara di saluran Telegramnya.

    Tetapi pada 0630 GMT peluru berpandu belum tiba.

    Menurut beberapa penulis blog tentera Ukraine, pengebom Rusia melakukan penerbangan meniru pelancaran peluru berpandu.

    Beberapa wilayah dan bahagian Kyiv terputus bekalan elektrik, dan rakaman media sosial menunjukkan ramai orang berkumpul di stesen metro bandar itu – yang telah menjadi tempat perlindungan bom sejak permulaan perang Rusia di Ukraine pada Februari 2022.

    Pada 0630 GMT, bagaimanapun, Ukraine masih berada di bawah amaran serangan udara.

    Pada 26 Ogos, Rusia menyerang Ukraine dengan lebih 200 dron dan peluru berpandu, membunuh tujuh orang dan menyerang kemudahan tenaga di seluruh negara, dalam apa yang dikatakan Kyiv sebagai “serangan paling besar” dalam perang itu.

    REUTERS

You cannot copy content of this page