Kategori: Artikel

  • Lima sifat orang munafik

    Berikut adalah beberapa sifat orang munafik:

    1. Berdusta kepada Allah.

    “Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap (agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman, sedangkan mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka…” (Surah an-Nisa’, maksud ayat 142)

    2. Membenci Nabi Muhammad SAW.

    “Tidaklah seseorang mencintaiku kecuali dia seorang Mukmin dan tidaklah seseorang membenciku kecuali dia seorang munafik.” (Riwayat Muslim)

    3. Tidak percaya janji Allah dan Rasul-Nya.

    “Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.” (Surah al-Ahzab, maksud ayat 12)

    4. Malas mengerjakan solat dan jika dilakukan bukan kerana Allah tetapi kerana riyak.

    Ayat 142, surah an-Nisa’ bermaksud: “…mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riyak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” (Surah an-Nisa’, maksud ayat 142)

    5. Menjadikan sumpah sebagai perisai dan menghalang manusia melaksanakan perintah Allah.

    “Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-Munafiqun, maksud ayat 2)

  • Dusta bawa anda ke neraka

    Foto hiasan

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya benar (jujur) menuntun kepada kebaikan dan kebaikan menuntun ke syurga. Sesungguhnya seorang selalu berkata benar sehingga dicatat di sisi Allah orang yang benar (siddiq). Sesungguhnya dusta menuntun kepada keburukan dan keburukan menuntun ke neraka. Sesungguhnya seseorang selalu berkata dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Daripada Abdullah bin Amr bin As, Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Empat sifat, sesiapa ada pada dirinya, dia munafik sejati dan sesiapa yang pada dirinya terdapat salah satu antaranya, maka pada dirinya ada sifat nifak (sifat orang munafik), sehingga dia meninggalkannya, iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila bertengkar dia menuduh yang bukan-bukan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huzaifah bin al-Yaman RA dilaporkan berkata: Dahulu di masa Rasulullah SAW ada ketika seseorang yang mengucapkan sepatah kata boleh menjadi munafik dan kini saya mendengar perkataan itu keluar daripada kamu sepuluh kali dalam sehari.

    Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Sebenar-benar keterangan ialah kitab Allah, semulia-mulia perkatan ialah zikrullah (zikir kepada Allah), sebusuk-busuk buta ialah buta hati, yang sederhana mencukupi lebih baik daripada yang banyak dan melupakan, seburuk-buruk penyesalan ialah menyesal (pada) hari kiamat, sebaik-baik kekayaan ialah kaya hati dan sebaik-baik bekal ialah takwa. Khamr (arak) menghimpun segala dosa dan wanita perangkap syaitan. Muda itu sebahagian daripada gila dan sebusuk-busuk penghasilan ialah riba. Sebesar-besar dosa ialah lidah pendusta.

    Seharusnya seorang Muslim menjaga diri daripada tanda munafik, sebab seorang jika biasa berdusta pasti dianggap pendusta dan munafik. Dia dibebani dosa orang yang mengikut sikapnya.

    Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, ayat 18)

  • Menjelang kiamat: Apabila amanah disia-siakan, urusan diserahkan kepada bukan ahlinya

    Dalam sahih Bukhari ada riwayat daripada Abu Hurairah (ertinya): Bahawa seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, bilakah terjadi kiamat?

    Maka, kata Rasulullah: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Kata Badwi itu, wahai Rasulullah, bagaimana atau dia berkata, apakah disia-siakan amanah itu?

    Rasulullah menjawab: Apabila urusan telah diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Rujukan teks — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 157

  • Tanda kiamat semakin dekat: Waktu cepat berlalu

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Maka, adalah setahun seperti sebulan. Dan adalah sebulan seperti (setiap kali) Jumaat, seperti seharian, dan adalah seharian seperti sejam. Dan sejam seperti lamanya membakar daun kurma.

    Rujukan teks — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 158

  • Buat baik kepada setiap makhluk ada pahalanya

    Pic Dreamstime

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah bersabda (mafhumnya): “Suatu ketika ada seorang lelaki berjalan di suatu jalan. Dia berasa sangat haus. Kemudian dia menemui sebuah sumur (telaga). Dia turun ke dalam sumur itu dan minum. Selepas itu, dia keluar.

    Tiba-tiba ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya sambil menelan tanah kerana sangat haus.

    Orang itu berkata; ‘pasti anjing ini berasa haus seperti yang aku rasai tadi’.

    Dia turun lagi ke dalam sumur, lalu memenuhkan sepatunya (kasutnya) dengan air, kemudian membawa sepatunya dengan mulutnya sehingga dia menaiki sumur tadi, lalu dia memberi minum kepada anjing itu.

    Allah berterima kasih pada orang terbabit dan memberikan ampunan padanya.

    Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah kita juga memperoleh pahala dengan sebab memberi minum pada haiwan?

    Baginda menjawab: “(Berbuat baik) kepada setiap makhluk yang bernyawa ada pahalanya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

  • Mulia manusia kerana ilmu dan amalan soleh

    Ada yang mengatakan: “Tiada pengasingan bagi orang mulia (berilmu) dan tiada tanah air bagi orang jahil.”

    Orang mulia di sini ialah orang berilmu serta beramal soleh, selalu dimuliakan dan dihormati orang lain di mana sahaja berada, sebab selalu diperlukan kehadirannya dan menjadi rujukan.

    Sebaliknya orang jahil akan berasa asing dan terpulau dalam masyarakat walaupun mereka berada di tempat kelahirannya sendiri. Mereka hidup dalam dunia tersendiri yang kadangkala (pada anggapan) hanya difahami mereka sendiri.

    Justeru kemuliaan manusia terletak pada ilmu dan amalan soleh. Hal ini diperkuatkan dengan dengan firman-Nya yang memberikan jaminan darjat mulia bagi orang beriman dan berilmu.

    “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

  • Tiga tanda anda orang dikehendaki jadi baik

    Hukama (ahli hikmah) ada mengatakan: “Apabila Allah menghendaki seorang hamba (Nya) menjadi baik, Dia menjadikannya orang yang mengerti agama, menjadikannya zuhud terhadap dunia dan menjadikannya menyedari terhadap segala aib dirinya.” (Dipetik daripada kitab Nasoihul Ibad)

    Maksudnya apabila Allah menghendaki seorang hamba-Nya menjadi manusia baik, iaitu baik menurut Allah dan menurut sesama manusia, orang itu akan mengerti dalam hal agama, daripada prinsipnya sehinggalah kepada cabang dan penghuraiannya atau praktiknya.

    Hatinya tenang dalam meniti hari-hari kehidupan yang dihiasi dengan ibadat dan amalan mulia, membantu sesama manusia, sekali gus memupuk kesejahteraan dan keharmonian. Sikapnya yang zuhud membuatkan dirinya tidak rakus dan cemas dengan gemerlapan duniawi.

    Dia dapat melihat aib pada dirinya iaitu segala kekurangan dirinya, yang harus segera diperbaiki atau diperelokkan, sebab dia sedar sudah menjadi sifat waktu tidak pernah menunggu walau sedetik.

    Begitulah ciri orang yang dikehendaki Allah untuk menjadi baik iaitu mengerti dalam ilmu agama, bersikap zuhud serta sedar terhadap kelemahan, kekurangan dan kesilapannya.

  • Mintalah daripada sesiapa yang anda mahu dan anda akan dikuasai

    Sayidina Ali bin Abi Talib RA dilaporkan berkata: “Berikanlah jasa (khidmat) kepada sesiapa yang anda mahu, maka anda akan dapat menguasainya. Mintalah daripada sesiapa yang anda mahu, maka anda akan dikuasainya. Cukuplah diri anda sendiri daripada sesiapa sahaja, maka anda akan seimbang dengannya.”

    Apabila anda berbuat baik kepada seseorang, maka anda akan menguasai orang terbabit. Sebaliknya, jika anda meminta sesuatu daripada orang lain, sama ada harta mahupun jasa, maka anda akan dikuasainya. Sebab jiwa seseorang itu mempunyai pembawaan untuk selalu menyukai kepada orang berbuat baik kepadanya.

    Sayidina Ali RA juga dipetik sebagai berkata: “Saya adalah hamba kepada seseorang yang mengajar kepada saya (walaupun) satu huruf, terpulanglah pada dia sama ada akan menjualku atau memerdekakan diriku.”

    Kesanggupan untuk membataskan kecukupan diri dengan apa yang dimilikinya dan tidak memerlukan lagi pada milik orang lain adalah kekayaan dan kemerdekaan sejati. Jika anda tidak lagi memerlukan apa dimiliki orang lain, bererti anda sebanding atau sama taraf dengannya.

    Hal ini sesuai dengan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sungguh beruntung orang yang masuk Islam, diberi rezeki yang cukup serta qanaah (berasa cukup) terhadap apa yang diberikan Allah.” (Riwayat Muslim)

    Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika berada di atas mimbar dan baginda menyebutkan sedekah dan menjaga harga diri daripada meminta-minta. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah pemberi, sedangkan tangan di bawah adalah peminta.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Abu Daud meriwayatkan; daripada Tsauban RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menjamin untukku (berjanji) untuk tidak meminta sesuatu daripada manusia, maka saya akan menjamin syurga untuknya?” Maka, saya berkata: “Saya.” Maka, Tsauban tidak meminta sesuatu pun kepada manusia.”

  • Tiga tidak dicapai dengan tiga

    Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dilaporkan berkata: “Tiga perkara tidak dapat dicapai dengan tiga cara:

    1. Kekayaan tidak dapat diperolehi dengan hanya berangan-angan.

    2. Usia muda tidak dapat diperolehi dengan mewarna rambut.

    3. Sihat tidak dapat dicapai dengan ubat-ubatan.”

    Apa yang dikatakan itu mengandungi makna tasawuf yang tinggi dan hakikat sebenar. Kekayaan dan rezeki semuanya datang daripada-Nya dan manusia akan mendapatkan bahagian masing-masing. Namun seseorang itu mestilah berusaha seperti bekerja dan berniaga untuk mendapatkannya.

    “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman menjelaskan: “Yakni bahawa sekalian makhluk adalah dijamin rezekinya oleh Allah Taala. Dalam pada itu kita disuruh berusaha dan berikhtiar, kerana langit tidak menghujankan emas dan perak.”

    Firman-Nya dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10 bermaksud: “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

    Usia muda pula tidak akan datang semula walaupun dengan mewarna rambut. Adalah mustahil usia seseorang akan kembali muda (atau berpatah balik untuk menjadi muda). Setelah tahu dan sedar hakikat itu, seseorang mestilah memanfaatkan usianya dengan sebaik-baiknya.

    Orang sakit tidak akan menjadi sihat atau sembuh selagi mana tidak diizinkan Allah, walaupun menggunakan berbagai-bagai ragam ubat. Manusia boleh (bahkan dikehendaki) berusaha atau melakukan ikhtiar, namun kesembuhan adalah daripada Allah.

    Satu hadis daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Jibril pernah datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau sakit?” Baginda SAW menjawab: “Ya.” Jibril lalu mengucapkan (ertinya): “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala yang menyakiti dirimu, juga dari kejahatan semua jiwa atau mata yang mendengki, semoga Allah akan menyembuhkan penyakitmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.” (Riwayat Muslim)

  • Menjelang kiamat: Tahun-tahun penuh penipuan

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah bersabda (mafhumnya): Menjelang terjadi kiamat akan ada tahun-tahun yang penuh penipuan, orang jujur didustai, pendusta dibenarkan, orang dipercayai dianggap khianat, pengkhianat dipercayai dan orang kecil lagi hina pandai berbicara.

    Rujukan teks — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 159

  • 3 amalan lebih dicintai Allah

    Daripada Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata: Saya pernah bertanya kepada Nabi SAW: Yang manakah amalan yang lebih disukai (atau lebih dicintai) di sisi Allah Taala?

    Baginda bersabda: Solat pada waktunya.

    Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda: Berbuat baik terhadap ibu bapa.

    Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda: Jihad pada jalan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjadi bukti bahawa solat pada waktunya adalah suatu keutamaan, seterusnya berbakti kepada orang tua (ibu bapa) dan jihad pada jalan Allah.

    Rujukan teks: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 252

  • Langit bersuara

    Daripada Abu Dzar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya saya dapat melihat apa yang kamu tidak dapat lihat dan saya dapat mendengar apa yang kamu tidak dapat dengar.

    Langit bersuara dan memang patut jika ia bersuara, sebab tiada tempat yang luang selebar empat jari di langit, melainkan ada malaikat yang meletakkan dahinya lalu bersujud kepada Allah Taala.

    Demi Allah! Seandainya kamu dapat melihat apa yang dapat saya lihat, pastilah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis dan kamu tidak akan bersuka ria dengan perempuan di tempat tidur, bahkan pastiah kamu akan keluar ke jalan-jalan untuk memohon pertolongan kepada Allah Taala.” (Riwayat Tirmidzi)

You cannot copy content of this page