Kategori: Artikel

  • Awas lima perkara

    Foto hiasan – Unsplash

    Sesetengah ahli ibadat berkata dalam munajatnya:

    Oh Tuhanku! Angan-angan yang mengarut menipuku

    Kecintaan terhadap duniawi merosakkan diriku

    Syaitan menyesatkan jalanku

    Nafsu pendorong kejahatan menghalangku daripada kebenaran

    Teman jahat membantuku melakukan maksiat

    Maka, tolonglah daku wahai Tuhan

    Penolong terhadap mereka yang memohon pertolongan

    Dan sekiranya Engkau tidak memberiku rahmat, maka siapa lagi selain Engkau yang dapat merahmati daku!

    Daripada potongan itu, dapat diperhatikan lima perkara:

    1. Angan-angan yang mengarut

    Tuhan berfirman maksudnya: “Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).” (Surah al-Hijr, ayat 3)

    Diriwayatkan daripada Sufian ats-Tsauri: “Tidak terkumpul harta pada diri seseorang pada zaman ini melainkan disertai lima perkara: Panjang angan-angan, tamak yang menguasainya, sangat bakhil, menipisnya warak dan lupa akhirat.”

    2.Kecintaan terhadap duniawi

    Firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba- lumba memperbanyakkan harta benda dan anak-pinak…” (Surah al-Hadid, ayat 20)

    Sabda Nabi SAW mafhumnya: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku khuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutkannya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    3.Syaitan yang menyesatkan

    “Apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah itu hanyalah berhala-berhala (makhluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang dilaknat.

    “Yang telah dilaknat oleh Allah dan yang telah mengatakan: Demi sesungguhnya, aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba-Mu bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku).

    “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong…” (Surah an-Nisa, ayat 117 hingga 119)

    4.Nafsu pendorong kejahatan

    Firman-Nya dalam surah Shad, ayat 26 maksudnya: “…dan janganlah kamu menurut nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

    Imam Ghazali berkata, adalah wajib ke atas orang hendak beribadat berhati-hati terhadap nafsu yang selalu mengajak ke jalan kejahatan sebab ia musuh menyesatkan dan membinasakan.

    5.Teman jahat

    Cerdik pandai menegaskan, tiada sesiapa menafikan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan dan sahabat seperjalanan dalam semua peringkat usia, malah dalam sesetengah keadaan kawan lebih diberi kepercayaan daripada keluarga.

    Satu hadis riwayat al-Bukhari menerangkan: “Diumpamakan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar atau mendapat bau busuk.”

    Firman Tuhan dalam surah al-Zukhruf, ayat 67 bermaksud: “Pada hari itu sahabat karib sesetengahnya menjadi musuh bagi sesetengah yang lain kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).”

    Justeru berwaspada terhadap lima perkara berkenaan. Mudah-mudahan hidup anda dilimpahi kebahagiaan dan kemanisan berpanjangan.

  • Manusia tidak tahu malu dan rasa bersalah apabila hati melekat pada dunia

    Manusia tidak tahu malu lagi apabila hati melekat pada dunia. Foto hiasan – Unsplash

    Manusia ada yang suka berbohong. Malah mereka tidak berasa bersalah atau malu kerana sudah menjadi kebiasaan, apatah lagi dengan sikap itu mudah baginya untuk memperoleh sesuatu.

    Sebagai contoh, mereka dapat membuat duit dalam waktu singkat, mendapatkan pengaruh seterusnya sentiasa dipandang mulia dan terhormat, sedangkan hakikatnya tidak demikian.

    Mereka yang mengamalkan sikap itu memang mempunyai kepentingan. Jika mereka berniaga, tujuan bohongnya hendak melariskan barang dagangannya.

    Lantas, diuar-uarkan keistimewaan barang jualannya bersama harga ditawarkan konon asli bukan tiruan ataupun bukan campuran bahan lain, berkualiti dan memberi kesan optimum, sedangkan ia tidak sedemikian.

    Orang suka bohong sebenarnya mempunyai jiwa pengecut. Dengan jiwa yang tidak tenteram, mereka tiada keyakinan diri dan takut menghadapi realiti. Sebab itu selalu berbohong, berpura-pura, buat-buat tak sedar atau tak salah.

    Di media sosial, bukan sedikit pembohongan yang dimuat naik dan dikongsi, seperti petikan kata-kata, yang sengaja direka untuk memperdayakan orang lain atau sebagai bahan ketawa.

    Hakikatnya, dunia ini penuh dengan pembohongan. Manusia lebih gemar kepada kepalsuan, berbohong antara satu dengan yang lain, sama ada secara sengaja dan dalam sedar ataupun tanpa disedari.

    Paksinya adalah keutamaan bahkan ketamakan pada dunia. Berbohong, berpenampilan pura-pura demi untuk habuan dunia.

    Ya, apabila hati melekat pada dunia umpama besi dan magnet, apa saja cara untuk mendapatkannya tetap dilakukan, sedang akhirat dikesampingkan sehingga ibadat dibuat secara ala kadar saja.

    “Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka, sesungguhnya neraka Jahimlah tempat kediamannya.” (Surah an-Nazi’at, ayat 37 hingga 39)

  • Binasa manusia kerana bakhil

    Manusia jadi bakhil kerana terlalu cinta harta – Foto hiasan Unsplash

    Bakhil ialah menahan diri daripada memberi atau membelanjakan apa yang wajib dan wajar mengikut ketentuan hukum sama ada mengikut pertimbangan hukum syarak mahupun hukum adat dan maruah.

    Dari aspek hukum syarak seperti menegah diri daripada menunaikan kewajipan zakat, kewajipan nafkah terhadap anak dan isteri, ibu bapa, keluarga serta orang yang ditetapkan oleh Allah.

    Mungkin orang bakhil menunaikan juga hak berkenaan, tetapi dengan berat hati. Malah, mereka dilihat selalu memberi, tetapi dengan barang buruk yang tidak disukainya lagi. Mereka berat hati untuk memberi barang yang terbaik atau sederhana dan disenangi.

    Bakhil dari segi adat dan maruah seperti memulangkan barang pembelian kerana kekurangan yang amat sedikit.

    Demikian juga orang yang memberikan kadar nafkah seperti ditetapkan mahkamah tetapi menyusahkan pemberiannya. Sama juga orang yang ada sebuku roti, kemudian datang seorang ingin makan bersamanya, lalu disembunyikan roti berkenaan.

    Punca utama sifat bakhil ialah cintakan hawa nafsu yang hanya boleh dicapai melalui wang dan harta di samping menaruh harapan untuk hidup lebih lama. Orang yang merasakan akan hidup lama dan ingin diisi dengan kepuasan nafsu melalui hartanya sudah tentu akan menyebabkan bakhil.

    Seterusnya, orang menjadi bakhil kerana terlalu sayangkan hartanya. Disebabkan sayang harta, dia tidak mahu mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana bimbang hartanya berkurangan.

    Orang seperti ini sanggup terlantar di rumah apabila terkena sakit. Dia tidak mahu ke hospital, bimbang wangnya habis kerana terpaksa membayar kos rawatan dan ubat. Dia lebih suka menggenggam wang dimiliki.

    Demikianlah sifat bakhil yang amat buruk. Hakikat ini diakui agama, seperti digambarkan pada ayat 180, surah Ali-Imran bermaksud: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak…”

    Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara yang diharamkan kepada mereka.” (Riwayat Muslim)

    Masyarakat yang sejahtera ialah masyarakat yang subur dengan sifat kemanusiaan, sifat berbakti dan beramal kebajikan, suka berkorban demi kepentingan orang lain, bekerjasama, belas kasihan dan membantu golongan lemah.

    Sebaliknya, tidak akan wujud masyarakat yang benar-benar sejahtera jika masing-masing tandus dengan sifat berkenaan disebabkan adanya sifat bakhil. Sifat ini diumpamakan telaga kering yang tertutup sumber mata airnya.

    Justeru, hati yang tandus daripada kebajikan, siapa lagi dapat diharapkan untuk membela dan membantu keluarga, fakir miskin, anak yatim, orang terlantar, teman ditimpa kesusahan dan jiran dalam kesempitan.

    Bagaimana akan tegaknya kebenaran dan terlaksananya keadilan jika sifat bakhil terus menguasai masyarakat berkenaan.

    Tiadalah Islam menjamin kesejahteraan sekiranya sifat bakhil membelenggu diri. Dalam berzakat sebagai contoh, jika semua masyarakat tidak mahu mengeluarkannya bagaimana si fakir dan miskin akan terbela? Tentu mereka bertambah melarat.

    Mereka yang tidak mengeluarkan zakat sebenarnya lebih daripada bakhil kerana zakat itu hak Allah untuk diagihkan kepada lapan jenis golongan ditetapkan-Nya.

    Memandangkan betapa buruknya kesan sifat bakhil, Islam menggalakkan amalan berbelanja (infak) dalam konsep menyeluruh,  merangkumi faedah duniawi dan ukhrawi.

  • Tepis susah dengan sikap positif

    Foto hiasan Unsplash

    Susah dan senang umumnya boleh diumpamakan sebagai tamu. Kedua-duanya datang dan pergi silih berganti. Tiada manusia yang tidak bertemu kesusahan. Begitu juga tiada mereka yang senang selama-lamanya.

    Bukan sahaja mereka yang tinggal jauh di pedalaman dan hutan belantara, bahkan di bandar-bandar besar, tidak sedikit mengalami hidup yang susah. Cuma sesetengahnya bentuk kesusahan itu tidak serupa dan cara menanganinya juga tidak sama.

    Mereka kekurangan dari sudut harta benda sebagai contoh mengalami kesusahan untuk menyara keluarga. Mereka sukar mendapatkan lauk-pauk istimewa, pakaian dan aksesori diri berjenama ataupun rumah yang selesa dan kenderaan lebih baik.

    Suka atau tidak, selalunya mereka terpaksa berlaukkan telur, ikan kering atau ikan masin dan berkuah kicap hampir setiap hari.

    Di khemah-khemah pelarian di perbatasan luar negara misalnya, mereka tak kira jantina dan usia turut dihimpit kesukaran. Pakaian sehelai sepinggang, tidur dalam kesejukan dengan bekalan makanan bergantung kepada simpati pihak luar.

    Sesiapa pun bertemu dengan kesusahan! Namun, sekadar menghitung dan mengeluh tidak akan ke mana, apatah lagi hidup dalam masyarakat yang suka apabila orang lain susah.

    Apa pun, dalam banyak yang susah, banyak lagi yang senang sebenarnya. Cuba perhatikan di sekeliling kita. Kerana itu, kita perlu sentiasa bersyukur dan pada masa sama bergantung harap kepada-Nya.

    Malahan jika diamati, kesusahan itu juga berpunca daripada diri kita sendiri. Sebagai contoh sikap kita yang cuai, terburu-buru, tidak mahu mendengar nasihat, suka membangkang, malas berusaha tetapi ingin hidup selesa, saban hari ingin gaya berbeza, malahan tidak kurang mereka yang dengki khianat dan rakus.

    Sikap kurang elok atau memang tidak elok semestinya disisihkan dan diperbetulkan jika tidak mahu hidup menjadi susah. Contohnya malas kepada rajin, berdisiplin, bersikap sabar dan tenang, santun dan tahu menghormati yang lain.

    Sabda Nabi SAW diriwayatkan Imam al-Bukhari ini sangat baik dijadikan motivasi: “Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang yang lebih baik daripada hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud AS tidak makan melainkan daripada hasil usahanya sendiri.”

    Kata orang, hendak senang bukan senang, hendak susah tak susah.

  • Buang benci lihat aib sendiri

    Foto hiasan – Unsplash

    “Janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain.” (Maksud ayat 12, surah al-Hujurat)

    Sesetengah orang suka dan bersungguh-sungguh mencari dan membuka aib orang lain. Malah yang kecil, yang biasa, diperbesarkan dan dijadikan sungguh luar biasa.

    Jarang yang melihat aib pada diri sendiri. Mereka berasa diri sendiri sudah cukup baik, tiada yang tidak baik melainkan baik-baik belaka, sedang orang lain ada-ada saja yang tidak kena.

    Mereka tidak kisah sekiranya orang lain dipandang rendah dan ditertawakan, kelihatan bersalah, dibenci khalayak. Malah mereka berasa seronok atau gembira.

    Oleh kerana itu mereka terus mengata tak kira siapa, mengadakan tuduhan dan cepat membuat kesimpulan menyimpang fakta dan realiti.

    Sedar atau tidak, selagi ada sikap sebegitu, kebencian terus wujud dan perseteruan tidak akan terpadam. Tanpa ragu ia boleh menggugat keharmonian dan semangat harmoni masyarakat.

    Sayidina Ali RA dipetik berkata: “Jadilah engkau orang yang paling baik di sisi Allah, orang yang buruk di sisimu (pada pandangan matamu sendiri) dan jadilah orang yang sewajarnya di mata manusia (lain).”

    Kata-kata ini sangat baik untuk dijadikan panduan atau tip dalam melakukan muhasabah atau memperbetulkan diri. Ya, semacam penjajaran atau alignment. Namun, berapa ramai yang nampak cela pada diri sendiri?

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Berapa ramai orang yang hanyut dibuai dengan kenikmatan ke atasnya? Berapa ramai orang yang termakan fitnah (terpedaya) dengan pujian ke atasnya? Berapa ramai orang yang tertipu kerana tertutup aib ke atasnya?”

    Aib atau keburukan pada diri sendiri akan menjadi pengajaran sekiranya orang itu sedar dan insaf terhadap kesalahan dan kelemahannya.

    Persoalannya, aib pada diri yang tidak pernah terbuka mungkin disebabkan tidak ada orang yang cuba menegur atau memberikan nasihat akan hanya menjadikan orang itu semakin jauh daripada kebenaran. Hal ini kerana orang itu berasa dirinya paling benar, paling baik dan sudah berada pada jalan lurus.

    Ada orang berkata: “Orang yang mengakui kelemahan diri akan terpuji selamanya dan pengakuan adanya kekurangan itu satu tanda diterima amalnya.”

    Menyedari adanya kekurangan pada diri sendiri juga menjadi tanda seseorang itu tidak angkuh. Sikap seperti ini disifatkan sebagai terpuji untuk selamanya.

    Orang yang berasa dirinya masih dalam kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu amalan soleh atau kebaikan bererti akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan amalannya. Maknanya dia tidak cepat berpuas hati terhadap sikap dan amalan ibadatnya.

    Dalam kehidupan bermasyarakat, setiap orang perlu ada toleransi, saling menghormati dan mengasihi antara satu sama lain.

    Benci, marah dan permusuhan hanya akan membuatkan hidup berasa bosan dan sukar, langkah terbatas, jiwa tertekan – selalu sakit hati.

    Disebutkan dalam Nasoihul Ibad, Nabi Sulaiman AS bersabda kepada puteranya: “Janganlah kamu menganggap banyak mempunyai seribu sahabat. Seribu sahabat itu sedikit. Dan janganlah kamu menganggap sedikit mempunyai seorang musuh kerana seorang musuh itu bererti banyak.”

    Mengapa seseorang itu harus membenci yang lain sedangkan Allah SWT sangat mengasihi hamba- Nya? Dari mana datangnya kebencian itu?

    “Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada manusia.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

  • Benar asas kemuliaan

    Foto Unsplash

    As-sidq bererti benar. Ia adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran daripada tingkah laku yang bersih dan suci.

    Sifat ini dapat menjamin hak kepada yang berhak, memperkukuhkan ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali sama ada seorang itu ahli ilmu, ahli politik, hakim ataupun ahli perniagaan, selagi mereka hidup dalam masyarakat yang saling memerlukan antara satu sama lain.

    Pada hakikatnya sifat ini adalah satu daripada sifat Allah seperti yang dapat difahami melalui firman-Nya bermaksud: “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Surah an-Nisa, ayat 87)

    Firman-Nya lagi pada surah Ali-Imran, ayat 95 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah (apa yang difirmankan) oleh Allah…”

    Sifat ini juga adalah sifat paling jelas dan wajib ke atas nabi dan rasul, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim, sesungguhnya adalah dia seorang yang amat benar lagi menjadi nabi.” (Surah Maryam, ayat 41)

    Firman-Nya lagi bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ismail, sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang rasul lagi berpangkat nabi.” (Surah Maryam, ayat 54)

    Kemudian, firman-Nya pada ayat 56 surah yang sama, maksudnya: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Idris, sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya) serta dia seorang nabi.”

    Jenis sifat benar

    Imam al-Ghazali menjelaskan jenisnya:

    1. Benar pada lisan atau kata-kata.

    Iaitu menyampaikan suatu kenyataan atau berita menepati seperti apa yang sebenarnya.

    2. Benar pada niat dan iradah (kehendak).

    Daya penggerak atau pendorong untuk membuat suatu amal kebaikan itu hanya Allah. Benar dengan pengertian ini termasuk dalam pengertian ikhlas.

    Justeru, orang tidak ikhlas dalam amal usahanya adalah dusta seperti yang ditegaskan oleh hadis dan al-Quran.

    3. Benar pada azam dan cita-cita.

    Azam dan cita-citanya untuk mengamalkan suatu amal kebaikan yang telah diazamkan itu adalah bulat dan benar tanpa teragak- agak atau luntur. Jiwanya sentiasa penuh dengan azam untuk melakukan kebaikan.

    4. Benar dalam melaksanakan keazaman.

    Menurut al-Ghazali, sifat benar ini lebih hebat daripada sifat pada tiga perkara sebelumnya. Mungkin jiwa seseorang itu akan serta-merta membulatkan azam kerana biasanya tidak susah pun untuk berbuat demikian.

    Apabila jalan telah terbuka, alat kelengkapan sudah tersedia, tetapi kerana suatu yang mempesona, maka azam yang bulat itu longgar dan terurai, lalu tidak dapat melaksanakannya. Ini juga bertentangan dengan sidq atau benar.

    5. Benar pada amalan.

    Berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya amalan zahir seseorang itu benar-benar menepati dengan yang tersembunyi di dalam diri atau matanya. Seorang yang solat kerana Allah pada zahirnya hendaklah juga kerana Allah pada batinnya.

    Amalan menepati zahir dan batin adalah amalan melambangkan ketulusan beribadat kepada Allah. Bukannya secara menipu diri dengan berlaku benar pada zahir saja tetapi tidak pada batinnya.

    Justeru benar pada amalan itu adalah kelurusan antara batin yang tersembunyi dengan zahir yang nyata atau tegasnya batin sama dengan zahir atau lebih baik daripada zahirnya.

    6. Sidq yang paling tinggi dan mulia iaitu sifat benar pada maqam (kedudukan atau tahap) dalam agama seperti benar pada takutkan Allah, benar pada pengharapan kepada-Nya, benar pada pengagungan kepada-Nya, zuhud kepada-Nya dan tawakal kepada-Nya.

    Rujukan: Akhlak dan Tasawuf oleh Mohd Sulaiman Yasin

  • Empat perkara buat manusia lalai

    Foto hiasan – Unsplah

    Lalai sinonim dengan cuai, lengah dan  alpa. Ia adalah sikap negatif yang merugikan dan membawa kebinasaan.

    Ramai manusia rugi kerana sikap mereka yang lalai. Mereka dilalaikan oleh banyak perkara dan hakikatnya tidak lari daripada empat faktor berikut:

    1. Nafsu – selalu memerintahkan manusia ke arah kejahatan dan menggoda tanpa henti. Ia tidak mempunyai tabiat baik, malah tidak malu untuk melakukan apa saja.

    Firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 43 bermaksud: “Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya?”

    Ada orang berkata: “Bertuahlah bagi orang yang akalnya berfungsi sebagai pemimpin dan nafsunya pula menjadi tawanan dan binasalah bagi orang yang nafsunya menjadi pemimpin dan akalnya pula sebagai tawanan.”

    2. Dunia dan segala tarikannya

    Ayat 64, surah al-Ankabut, bermaksud: “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.”

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Ramai orang yang hanyut dibuai kenikmatan, ramai pula orang yang termakan fitnah (terpedaya) oleh pujian dan ramai juga orang yang tertipu oleh tertutupnya aib (pada dirinya).”

    Salman al-Farisi RA berkata: “Sesungguhnya hamba Allah, jika dia berzuhud terhadap dunia, hatinya akan bersinar dengan hikmah dan anggota badannya pula akan saling membantu untuk beribadat.”

    3. Manusia – kerap kali seseorang menjadi lalai kerana manusia lain,  terpengaruh ataupun terikut-ikut dengan mereka.

    Imam Tabrani meriwayatkan satu hadis daripada Basyir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, mafhumnya: “Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil.”

    Maksudnya tidak bersahabat dengan orang yang bertingkah laku buruk bagi mengelakkan keburukan wataknya kerana watak seseorang dapat mempengaruhi orang lain.

    4. Syaitan – mengenainya Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 208 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

    Yahya bin Muaz ar-Razi berkata: “Syaitan itu pengganggu, dia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan rancangannya, sedangkan manusia selalu sibuk.

    Syaitan mengetahuinya tetapi oleh kerana manusia tidak dapat melihat syaitan, maka manusia lupa terhadapnya, manakala syaitan sentiasa mengingati mereka. Syaitan mempunyai ramai pembantu.”

    Al-Quran menegaskan, maksudnya: “Dan janganlah engkau menjadi daripada orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 205)

    Namun, dalam banyak keadaan manusia selalu cenderung ke arah itu.
    Barangkali kita boleh perhatikan kepada diri sendiri sama ada betul atau tidak.

    Kalau kita pergi lebih lanjut, bercakap soal keselamatan di jalan raya sebagai contoh, berapa ramai yang melanggar peraturan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, memandu dalam keadaan separuh sedar dan berlumba, sehingga mengganggu pengguna lain,  merempuh mereka dan mengakibatkan kecelakaan?

    Bagi pelaksanaan ibadat seperti solat, sejauh mana kita ambil cakna terhadap aspek kebersihan diri dan pakaian, kriteria ketertiban dan khusyuk?

    Cuba kita hayati kata-kata Nabi Isa bin Maryam sebagaimana dicatatkan dalam kitab Tanbihul Ghafilin: “Bukanlah keajaiban bagi orang yang binasa bagaimana dia binasa tetapi keajaiban adalah bagi orang yang selamat, bagaimana dia selamat.”

  • Enam merosakkan hati

    Foto hiasan Unsplash

    Imam al-Ghazali dalam Minhajul Abidin menjelaskan, hati adalah raja bagi segala anggota tubuh yang lain. Jika rajanya baik, rakyatnya akan turut baik dan apabila rajanya rosak, maka rakyatnya juga rosak.

    Beliau juga mengumpamakan hati sebagai pokok manakala anggota lain adalah dahan pokok. Pokok adalah pelindung bagi dahan dan cabangnya. Justeru, baik atau rosaknya cabang itu bergantung kepada pokoknya.

    Umumnya hati manusia tidak sama. Jika hati rosak, akan rosaklah segala-galanya. Namun, jika hati baik atau sihat, keseluruhannya akan menjadi baik.

    Menurut Hasan al-Basri, hati rosak disebabkan enam hal iaitu mereka sengaja melakukan dosa dengan harapan bertaubat, mereka mempelajari ilmu tetapi tidak mengamalkannya, apabila beramal mereka tidak ikhlas, mereka makan tetapi tidak bersyukur kepada Allah, mereka tidak reda dengan bahagian Allah dan mereka mengebumikan orang mati tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya.

    1. Sengaja melakukan dosa dengan harapan bertaubat

    Sesetengah orang meremehkan dosa, bahkan mempermain-mainkannya. Tidak sedikit mereka yang bertangguh untuk bertaubat kerana menyangka ajal masih jauh, walhal yang sebenarnya mereka tiada langsung pengetahuan akan hal itu. Jelas sekali, sikap mereka tidak lebih satu tipu daya yang terkena pada diri sendiri.
    Firman-Nya bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Luqman, ayat 34)

    Hakikatnya, perbuatan dosa tidak disukai Allah, sebagaimana yang dapat difahami melalui ayat 107, daripada surah an-Nisa bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang selalu melakukan khianat lagi sentiasa berdosa.”

    Seorang ulama terkenal, Abu Syeikh Abdul Aziz ad-Daramy berkata, dosa kecil dilakukan oleh seseorang dapat menjadi dosa besar sekiranya ia berterusan, berulang kali ataupun menjadi kebiasaan tanpa berasa berdosa melakukannya.

    Abu Said al-Khudri berkata: “Sesungguhnya kamu semua pasti melakukan beberapa hal yang menurut kamu lebih kecil daripada rambut. Padahal, sewaktu zaman Rasulullah SAW, kami menghitungnya termasuk hal yang dapat merosakkan. Ini kerana kami sangat mengagungkan Allah.”

    2. Belajar tetapi tidak beramal

    Menurut Sufyan bin Uyainah, seperti disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin, sungguh tidak baik bagi orang itu bodoh. Sesiapa mengamalkan apa yang dia ketahui, maka dia sepandai-pandai manusia. Dan sesiapa tidak mengamalkan ilmunya, maka dialah orang bodoh.

    3. Apabila beramal tidak ikhlas

    Dalam kitab Riyadus Solihin dan Penjelasannya menyatakan, ikhlas ialah bertujuan hanya semata-mata kerana Allah, yakni seorang hamba dalam melakukan ketaatan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa tujuan lain.

    Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula pada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat pada hati-hati kamu.”

    4. Makan tapi tidak bersyukur kepada Allah

    Bersyukurlah kepada-Nya. Dialah yang memberikan segala rezeki. “Maka, ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepada-Mu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

    5. Tidak reda dengan bahagian Allah

    Bersikap redalah dengan ketentuan daripada Allah. Dalam soal rezeki sebagaimana dikatakan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, tidak akan hilang daripada kamu ketika kamu tidak mencarinya. “Sesuatu yang bukan bahagianmu, maka kamu tidak akan mendapatnya, meskipun kamu bersemangat, bersungguh-sungguh dan berusaha keras dalam mencarinya. Maka, dengan itu bersabarlah dan redalah.”

    6. Mengebumikan orang mati tapi tidak mengambil iktibar

    “Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

  • 7 karakter harus dijauhi

    Foto hiasan – Unsplash

    Amirul Mukminin Sayidina Umar al-Khattab RA dipetik sebagai berkata: “Sesiapa banyak ketawa, sedikit kewibawaannya. Sesiapa meremehkan manusia, dia akan dihinakan. Sesiapa lebih banyak (kerap) terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya. Sesiapa banyak bicaranya, banyak pula salahnya. Sesiapa banyak kesalahannya, sedikit perasaan malunya. Sesiapa sedikit perasaan malunya, sedikit waraknya. Dan sesiapa sedikit waraknya, matilah hatinya.”

    1. Sesiapa banyak ketawa, hilang wibawa diri.

    Banyak ketawa akan menghilangkan rasa hormat daripada orang lain. Justeru, seseorang tidak dianjurkan ketawa sehingga terbahak-bahak, apatah lagi asyik dengan jenaka kerana ia boleh mendorong sikap lupa dan cuai terhadap tanggungjawab yang sepatutnya disempurnakan.

    Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Aishah RA berkata: “Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa kuat sehingga nampak anak tekaknya, (tetapi) Baginda tersenyum sahaja.”

    Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Jauhilah bergurau senda kerana gurau senda itu pekerjaan orang yang dungu, yang dapat menyebabkan iri hati.”

    2. Sesiapa meremehkan orang lain, dia akan terhina.

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Cukuplah seseorang dianggap berbuat keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim.” (Riwayat Muslim)

    3. Sesiapa lebih banyak terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya.

    Memang ada benarnya. Orang yang selalu terbabit dalam sesuatu hal akan dikenali dengan hal berkenaan. Jangan sampai kita dikenali dalam hal tidak baik sehingga merosakkan maruah diri.

    Kata Sayidina Ali RA: “Harga diri seseorang terletak pada keahliannya.”

    4. Sesiapa banyak bicara, banyak salah.

    Imam Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang banyak bercakap, banyak salahnya. Sesiapa banyak hartanya, banyak dosanya. Sesiapa jahat akhlaknya, akan menyeksa dirinya sendiri.”

    Tuhan berfirman dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

    5. Sesiapa banyak salah, sedikit perasaan malu.

    Orang yang kurang rasa malu selalu buat salah. Dia juga tidak hairan keburukannya terdedah di mata khalayak. Berbeza dengan orang yang menebal rasa malunya, sentiasa berwaspada dalam setiap tingkah lakunya.

    Kata sesetengah ahli ilmu: “Sesiapa memakai baju malu, orang lain tidak akan melihat nodanya.”

    Malu mendatangkan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

    6. Sesiapa sedikit perasaan malu, sedikit warak.

    Warak ialah meninggalkan hal dibolehkan sebagai bentuk sikap hati-hati daripada hal yang mengandungi dosa.

    Daripada Anas RA, Nabi SAW pernah menemui sebiji kurma di jalan. Lantas, Baginda bersabda: Kalaulah bukan kerana saya khuatir kurma ini berasal daripada harta sedekah, pasti saya akan memakannya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    7. Sesiapa sedikit warak, mati hatinya.

    Orang paling jauh dari Allah adalah orang yang mati ataupun keras hatinya. Apabila hati mati, seseorang itu tidak akan menerima nasihat dan peringatan. Kata apa saja kepadanya, semua tidak dipedulikan, bahkan dipersenda-sendakan.

    Menurut Imam al-Ghazali, kita diwajibkan menjaga hati dan menjadikannya baik dengan sungguh-sungguh, kerana hati bahagian tubuh manusia paling besar bahaya, kuat pengaruhnya, bahkan sukar dan pelik masalahnya serta paling halus dan rumit untuk membaikinya.

  • 5 sikap mulia diajarkan Islam

    Usah gopoh, tenangkan diri – Foto hiasan Unsplash

    Tokoh sufi Maulana Jalaluddin Rumi yang terkenal dengan mutiara katanya dipetik sebagai berkata: “Manusia di dunia ini tidak melihat kepada diri mereka. Jadi, menyebabkan mereka menyalahkan antara satu sama lain.”

    Satu punca manusia tertekan, berasa cemas dan tidak tenteram ialah sikap mereka yang suka menyalahkan orang lain. Tidak mengaku kelemahan atau kesalahan dilakukan melainkan selepas terhimpit atau tiada jalan keluar.

    Malah sesetengahnya mereka-reka atau mengada-adakan cerita ataupun mencari sisi yang boleh menyalahkan, mengaibkan dan menjatuhkan orang lain. Lidah misalnya, pantas mengata konon si dia berdusta serta sengaja membuat angkara.

    Kita boleh perhatikan perkara ini dalam pelbagai situasi. Di jalan raya sebagai contoh, apabila berlaku kemalangan, masing-masing menuding jari ke arah satu sama lain. Tiada yang mahu mengaku dan meminta maaf. Sungguh naif sikap manusia pada zaman moden ini.

    Islam tidak menganjurkan umatnya sikap suka menyalahkan orang, mencari aib dan mengambil kesempatan atas kelemahan mereka, curiga tanpa asas dan mengatakan sesuatu yang dusta. Dukacita sekiranya kita terus cenderung kepada tingkah laku seperti itu.

    Jadi, apa yang Islam ajar apabila menghadapi sesuatu hal? Antaranya seperti berikut:

    1. Tenang dan wibawa

    Hadapi sesuatu itu dengan tenang. Jangan sampai hilang punca dan cepat mengata orang. Sebabnya, apabila saling mengata, hal yang kecil boleh menjadi rumit.

    “Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

    2. Kuasai diri

    Jangan cepat melenting dan bertindak balas terhadap orang lain, sebaliknya kawal diri dan bersabar. Fahami hal dihadapi sebaik-baiknya. Bukankah berfikir sejenak itu lebih baik daripada bertindak melulu?

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Orang yang kuat itu bukanlah yang menang berlawan. Sesungguhnya orang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    3. Tidak angkuh dan tidak cepat berasa lebih baik

    Sifat angkuh atau berasa diri lebih baik, mulia dan hebat adalah sifat Iblis. Manusia sepatutnya bebas daripada sifat itu. Mereka harus memupuk sikap hormat antara satu sama lain tanpa mengira jantina, usia dan bangsa.

    “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

    Firman-Nya pada surah an-Najm, ayat 32 bermaksud: “…maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.”

    4. Cermat dalam membuat bantahan

    Sekiranya perlu, bantahlah dengan cara yang baik. Jangan sampai bertegang leher dan berseteru disebabkan hal tidak sepatutnya. “Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

    5. Memaafkan orang lain

    Jika sudah pasti orang lain salah dan mereka meminta maaf daripada anda, maafkanlah. Sedarlah, tiada manusia sunyi daripada kesalahan dan perbuatan memaafkan itu adalah sikap terpuji.

    Firman-Nya pada surah asy-Syura, ayat 43 bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

  • Jejak orang soleh

    Foto hiasan – Unsplash

    Tawaduk termasuk dalam akhlak yang sangat mulia dan menjadi nilai daripada akhlak orang soleh. Justeru, selayaknya kita mengikuti jejak orang-orang soleh.

    Pada suatu malam, Umar bin Abdul Aziz didatangi tamu dan selalunya beliau selepas Isyak menulis apa-apa yang diperlukannya, sedang tamunya tidak jauh kelihatan lampu sudah berkelip-kelip hampir padam.

    Tamu itu berkata: Wahai Amirul Mukminin, saya akan bangun membaiki lampu itu.

    Jawab Umar: Bukan daripada kemanusiaan apabila menggunakan tenaga tamunya.

    Tamu itu berkata: Apakah saya bangunkan pelayan (pekerja)?

    Jawab Umar: Tidak, sebab dia baru tidur.

    Lalu Umar sendiri mengisi gas lampunya.

    Tamu itu bertanya: Wahai Amirul Mukminin! Tuan sendiri yang membetulkan (melakukannya)?

    Jawab Umar: Ketika saya bangun, saya tetap Umar. Dan kembali juga masih tetap Umar. Dan sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang tawaduk (merendah diri atau tidak meninggi diri).

  • Kasihi isteri, bergaul dengan cara baik

    Foto hiasan – Unsplash

    Al-Quran menegaskan, maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.

    Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah an-Nisa, ayat 19, Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Janganlah seorang Mukmin (lelaki beriman) membenci seorang Mukminah (wanita beriman) kerana apabila ada suatu budi pekerti perempuan itu yang dia tidak sukai, tentu ada budi pekertinya yang lain yang dia sukai atau daripada budi pekerti selain dibencinya itu.” (Riwayat Muslim)

    Kehidupan suami isteri saling melengkapi, seharusnya penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan kemaafan. Mereka perlu saling memahami dan bertolak ansur.

    Dugaan dalam meniti hari demi hari harus dihadapi dengan rasional, bukan emosional dan lemas di dasarnya. Ada mata pandang baik-baik, ada mulut tutur elok-elok dan ada akal timbang betul-betul.

    Sebarang kekurangan dihadapi dan ditangani bersama ke arah memperbaiki, bukan diperbesar-besarkan agar tidak membenih masalah lebih rumit yang menghimpit kedamaian sekali gus meranapkan rumah tangga.

    Kesilapan, kesalahan dan keterlanjuran atau apa pun istilah diberikan merujuk kepada hal itu, ada baiknya dimaafkan demi kebaikan bersama dalam institusi keluarga.

    Apa tidaknya, sebab selalunya kesilapan itu bukanlah disengajakan, tetapi disebabkan faktor lain misalnya ‘tidak tahu’ ataupun tersilap faham. Namanya juga ‘silap’.

    Buang yang keruh ambil yang jernih. Bukankah kita hendak hidup, hidup bersama, merencana hidup bersama-sama, melukis potret hari muka yang lebih bahagia dan berjaya.

    Diceritakan dalam Tanbihul Ghafilin, satu kisah di zaman sahabat. Seorang datang kepada Umar al-Khattab untuk mengadu keadaan isterinya.

    Sampai di muka pintu (rumah) Umar, dia mendengar Ummi Kaltsum isteri Umar membantah kepada Umar.

    Orang itu berkata: Aku akan mengadu mengenai keberanian isteriku membantah perintahku tiba-tiba Umar juga menghadapi keadaanku ini.

    Dia mahu kembali, tiba-tiba dipanggil oleh Umar dan ditanya:

    Jawabnya: Aku datang ke mari untuk mengadu mengenai keberanian isteriku, (tetapi) tiba-tiba aku mendengar isterimu juga seperti isteriku, maka aku akan kembali.

    Umar berkata: Kami memaafkan padanya kerana beberapa hak yang harus aku tanggung:

    1. Sebab dia menjadi dinding bagiku daripada api neraka, sehingga hatiku tenang dan jauh daripada yang haram.

    2. Dia menjadi penjaga rumahku jika aku keluar dan penjaga hartaku.

    3. Dia mencuci pakaianku.

    4. Dia ibu kepada anak-anakku.

    5. Dia yang memasak makananku.

    Maka, orang itu berkata: Isteriku juga begitu, maka apa yang engkau maafkannya, aku pun akan maafkan isteriku.

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Mukminin (orang-orang beriman) yang paling sempurna keimanannya ialah mereka yang terbaik budi pekertinya dan yang terbaik antara kamu ialah mereka yang terbaik sifatnya terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat Tirmidzi)

  • Lima sebab gagal beramal ibadat

    Foto hiasan Unsplash

    Seorang bijaksana (ahli hikmah) ditanya: Mengapakah kami mendengar pengajian tetapi tidak dapat mengamalkannya?

    Jawabnya: Kerana lima perkara:

    1. Allah memberikan nikmat kepada kamu tapi kamu tidak bersyukur.

    2. Kamu melakukan dosa tetapi tidak istighfar (memohon keampunan).

    3. Kamu tidak suka mengamalkan apa yang telah kamu ketahui.

    4. Kamu bersahabat dengan orang-orang yang baik tetapi tidak mengikuti amalan mereka.

    5. Kamu selalu menguburkan orang mati tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.

    Sejauh mana kita bersyukur?

    Abu Laits dalam karyanya Tanbihul Ghafilin dipetik sebagai berkata: Puji syukur itu ibadat orang-orang dahulu hingga yang terakhir, ibadat malaikat, ibadat nabi-nabi, ibadat semua penduduk bumi dan ibadat ahli syurga.

    Said bin Jubair berkata: Pertama orang yang masuk syurga ialah orang yang selalu mengucapkan Alhamdulillah dalam senang atau susah.

    Menurut keterangan dalam Tanbihul Ghafilin, syukur ada dua macam, iaitu am dan khas.

    Adapun syukur secara amnya iaitu mengakui nikmat daripada Allah, lantas mengucapkan pujian dengan lidah.

    Syukur secara khas, maka pujian dengan lidah dan makrifat di dalam hati, dan menjaga lidah sesama anggota badan daripada segala apa yang tidak dihalalkan oleh Allah.

    Justeru bagaimana dengan syukur yang kita ucapkan, jika tutur bicara masih tidak dijaga, bahkan segala anggota badan dengan tenaga kekuatan dianugerahkan oleh-Nya tidak digunakan pada perkara kebaikan?

    Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

    Ayat 40, surah an-Naml, bermaksud: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata. Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku, adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.”

    Mohonlah keampunan

    Seharusnya bagi seorang yang sempurna akal bertaubat pada setiap waktu supaya tidak tergolong orang-orang yang merajalela (menjadi-jadi, berbuat sesuka hati) dalam derhaka, sebab seorang yang selalu bertaubat tidak dianggap bergelimang dalam berbuat dosa meskipun dia mengulang dosa itu sehari sampai tujuh puluh kali. (Tanbihul Ghafilin)

    Firman-Nya bermaksud: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang beriman – lelaki dan perempuan dan (ingatlah) Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad, ayat 19)

    Dalam riwayat Muslim, hadis daripada al-Agharr al-Muzani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya terkadang hatiku tertutup dan sesungguhnya aku memohon ampunan kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Riyadus Solihin & Penjelasannya)

    Beramal ibadat tak mudah

    Ramai orang tahu dan ramai juga orang tidak tahu. Namun dalam ramai yang tahu, ramai juga buat-buat tidak tahu.

    Hendak mengetahui sesuatu tidak susah tetapi hendak mengamalkan yang sudah diketahui tidak mudah.

    Dalam hubungan ini, kita boleh perhatikan senario di sekeliling kita bahkan diri kita sendiri, sama ada dalam soal mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, halal haram ataupun patut tak patut dalam menghadapi kehidupan harian dan hubungan sesama manusia.

    Sayidina Ali bin Abu Talib dipetik sebagai berkata: Seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka orang enggan belajar daripadanya. Sebab seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka ilmu itu tidak berguna baginya meskipun dia telah mengumpulkan ilmu sebanyak-banyaknya.

    Sebab kami mendapat berita bahawa seorang daripada Bani Israel telah menghimpun ilmu sebanyak lapan puluh peti besar daripada ilmu, tiba-tiba Allah menurunkan wahyu kepada nabi, supaya memberitahu kepada orang alim itu: Andai kamu menghimpun dua kali ganda daripada ilmumu itu, maka tidak berguna selama kamu tidak mengerjakan tiga perkara:

    1. Jangan cinta kepada dunia, sebab dunia ini bukan tempat tinggal tetap bagi orang Mukminin (beriman).

    2. Jangan bersahabat dengan syaitan sebab ia bukan sahabat orang Mukminin.

    3. Jangan mengganggu orang Mukminin sebab yang demikian itu bukan perbuatan orang Mukminin.

    Al-Auzaie berkata: Sesiapa mengamalkan apa yang telah diketahui, maka akan diberikan taufik untuk mencapai apa yang belum diketahui.

    Firman-Nya bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7)

    Ayat 97, surah an-Nahl, bermaksud: “Sesiapa beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

    “Sesiapa mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri…” (Maksud daripada ayat 15, surah al-Jatsiyah)

    “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Maksud daripada ayat 20, surah al-Muzzammil)

  • Maut tetap akan menemui kamu

    Foto hiasan – Freepik

    Sesungguhnya antara nikmat dunia, cukuplah bagimu Islam sebagai suatu nikmat, antara kesibukan cukuplah bagimu ketaatan sebagai suatu kesibukan dan antara pengajaran cukuplah bagimu kematian sebagai suatu pengajaran.

    Petikan ungkapan Sayidina Ali

    Berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dengan kematian, sedangkan setiap hari bahkan setiap detik ada yang menemuinya, apatah lagi ketika wabak maut melanda atau perang menerkam jiwa?

    Firman Allah pada surah Ali Imran, ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”

    Ayat 26, surah ar-Rahman bermaksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.”

    Banyak harta atau miskin, mulia atau hina, berjawatan tinggi ataupun sudah hilang pekerjaan, cantik bergaya ataupun tidak, tinggal di villa mewah lengkap dengan peralatan canggih atau di pondok usang terpencil daripada arus kemodenan, semua akan bertemu dengan mati.

    Lari atau carilah tempat berlindung di mana-mana pun, ke puncak gunung, jauh ke angkasa raya atau bersembunyi di bilik kebal yang bermeter-meter ketebalannya lagi rahsia daripada pengetahuan umum, tidak keluar, maut tetap mengekori kamu.

    “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 8)

    “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Surah an-Nisa, ayat 78)

    Justeru apa yang harus dilakukan?

    Kata Abu Laits: Sesiapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan jahat sebab dia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya.

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti seseorang ketika meninggal dunia iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka, kembali dua hal dan tinggal satu. Keluarga dan hartanya kembali dan yang tinggal adalah amalannya. (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagaimana dipetik: Sesiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekalan, maka seolah-olah dia mengharungi lautan tanpa bahtera.”

    Justeru kamu dinasihatkan agar segera buat kebaikan, rajin melakukan ketaatan, jauhi kejahatan dan elak sebarang bentuk (walaupun kecil atau sedikit) penganiayaan kepada sesama manusia.

  • Orang khusyuk dalam solat, orang berjaya

    Foto hiasan Unsplash

    Surah al-Mukminun, ayat 1 dan 2 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    Menurut keterangan diberikan dalam tafsir itu (bagi ayat 2), solat yang sempurna ialah solat yang dilakukan dengan khusyuk yakni dengan sepenuh-penuh hormat dan ingatan meliputi anggota-anggota badan dan hati.

    Khusyuk adalah aspek sangat penting dalam mengerjakan solat. Berkaitan hal ini, ada beberapa keterangan dalam Tanbihul Ghafilin:

    1. Al-Kaham bin Uyainah berkata: Sesiapa di dalam solatnya memperhatikan orang di kanan kirinya, maka tidak dianggap solatnya.

    2. Yaakub Alqari’ ketika solat tiba-tiba datang orang mengambil serbannya dan dibawa kepada kawan-kawannya. Maka, kawan-kawan itu mengetahui bahawa ia adalah serban Yaakub.

    Justeru, mereka menasihatkan orang yang mengambil itu supaya mengembalikannya, sebab khuatir terkena doanya.

    Maka, segera dikembalikan, sedang Yaakub belum selesai solat. Lalu, diminta maaf dan diberitahu kepadanya setelah selesai solat.

    Yaakub berkata: Aku tidak berasa siapa yang mengambil dan siapa yang mengembalikannya.

    3. Rabiah Adawiyah pernah solat ketika sujud mendadak matanya tercucuk duri, tetapi tidak berasa melainkan selepas selesai solat.

    4. Sayidina Hasan bin Ali jika akan berwuduk berubah pucat dan ketika ditanya hal itu, jawabnya: Saya akan berdiri di depan raja yang maha kuasa. Dan apabila dia akan masuk masjid, mengangkat kepalanya sambil berdoa:

    “Wahai Tuhanku! Hamba-Mu di pintu-Mu. Telah datang kepada-Mu orang yang derhaka. Engkau menyuruh orang yang baik daripada kami supaya memaafkan orang yang salah, sedang Engkau yang baik pemurah dan aku yang bersalah, maka maafkan keburukanku dengan kebaikan-Mu, wahai Yang Maha Mulia.”

    Kemudian dia masuk ke masjid.

    5. Sayidina Ali bin Abi Talib jika tiba waktu solat, gementar persendiannya dan berubah mukanya. Ketika ditanya mengenai hal itu, jawabnya: Tiba waktunya amanat yang ditawarkan oleh Allah kepada langit, bumi dan bukit dan semuanya menolak kerana khuatir daripadanya tetapi ditanggung oleh manusia dan aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat menunaikan sebaik-baiknya atau tidak.

  • Bekal untuk pergi

    Foto Freepik

    Abu Dzar al-Ghifari RA diceritakan dalam Tanbihul Ghafilin, berdiri di muka Kaabah, lalu berkata:

    “Ingatlah, yang sudah mengenali aku maka cukuplah dan sesiapa yang belum kenal, maka aku Jundub bin Junadah al-Ghifari. Silakan kamu mendekat kepada kawan yang akan menyampaikan nasihat dan sayang kepadamu.”

    Maka mendekat orang-orang kepadanya dan berkumpul di sekelilingnya.

    Dia berkata: “Wahai semua manusia, siapa yang akan pergi di dunia ini, maka dia tidak pergi melainkan dengan bekal. Maka, bagaimana seorang yang akan pergi ke akhirat tanpa bekal?”

    Mereka bertanya: “Apakah bekal kami wahai Abu Dzar?”

    Jawabnya: “Solat dua rakaat di tengah malam untuk menghadapi gelapnya kubur, puasa di musim panas untuk menghadapi hari bangkit dari kubur, sedekah kepada orang miskin supaya selamat daripada seksa di saat sukar, haji untuk menghadapi bahaya-bahaya yang besar. Jadikanlah dunia ini dua tempat, tempat untuk mencari dunia dan tempat untuk akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna. Jadikan perkataan itu hanya dua kalimat. Satu kalimat yang berguna dalam urusan dunia atau kalimat yang kekal di akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna. Jadikan harta dua manfaat. Yang satu belanjakan untuk anak keluarga dan yang satu lagi untuk tabungan akhirat dan yang ketiga berbahaya dan tidak berguna.”

    Kemudian Abu Dzar mengeluh: “Ah aku telah terbunuh oleh kerisauan terhadap satu hari yang dapat aku kejar.”

    Maka, ditanya: “Apakah yang kamu maksudkan?”

    Jawabnya: “Harapan dan angan-anganku melebihi dari batas ajalku sehingga tidak dapat beramal (beribadat).

  • Enam cara hadapi fitnah

    Fitnah menjadikan hidup hambar – Foto hiasan Unsplash

    Abu Laits as-Samarqandi dalam karyanya Tanbihul Ghafilin dipetik sebagai berkata: Jika orang memberitahu kepadamu bahawa seseorang memburukkan kamu, harus menghadapinya dengan enam macam:

    1. Jangan percaya, kerana orang memfitnah itu tidak diterima persaksiannya.

    Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

    2. Kamu harus mencegahnya daripada fitnah itu, sebab nahi munkar (mencegah kemungkaran) itu wajib.

    3. Kamu harus membenci (tidak suka) kepadanya, sebab telah berbuat maksiat.

    4. Kamu jangan bersangka buruk terhadap saudara kamu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim adalah haram.

    5. Jangan kamu selidik keadaan (mencari-cari salah) orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang mencari-cari kesalahan orang.

    6. Apa yang kamu tidak suka daripada perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan sampai berbuat seperti itu, iaitu kamu jangan memberitahu kepada sesiapa pun apa yang dikatakan oleh orang membuat fitnah itu.

  • Tiga harus dirisaukan

    Foto hiasan – Unsplash

    Seorang ahli hikmah (orang bijaksana) dipetik sebagai berkata: Sesiapa risau bukan kerana tiga perkara, maka dia tidak dapat mengenal (membezakan) risau dan tenang:

    1. Risau mengenai iman, apakah ia akan dibawa terus hingga mati atau tidak.

    2. Risau terhadap perintah Allah, apakah dia dapat melaksanakan dengan sebaik-baiknya ataupun tidak.

    3. Risau memikirkan orang yang akan menuntut padanya kelak, apakah dia termasuk golongan selamat ataupun tidak.

    Risau mengenai iman apakah akan dibawa hingga mati

    Dalam Minhajul Abidin ada menerangkan, orang soleh sangat takut akan suul khatimah (buruk pengakhiran). Ia terbahagi kepada dua peringkat, dengan kedua-duanya sangat bahaya.

    Hati dan perasaan seseorang ketika sakratul maut segera merenggutnya. Maka, hatinya menjadi ragu-ragu dan tidak lagi mempercayai Allah hingga dia mati dalam keadaan tidak beriman. Na’uzu billah (semoga kita dijauhkan oleh Allah).

    Seseorang yang dikawal oleh perasaan cintanya terhadap urusan duniawi yang tiada hubungan dengan urusan akhirat, contohnya seseorang sedang mendirikan rumah, tiba-tiba sakratul maut datang menjemputnya, dalam keadaan seperti itu, dia tidak mengingati apa-apa melainkan hanya memikirkan pembinaan rumahnya yang belum selesai. Maka, jika dia mati dalam keadaan demikian, bererti dia mati dalam keadaan jauh daripada Allah. Hatinya hanyut bersama cintanya terhadap harta dan dunia, bahkan berpaling daripada Allah.

    Antara dua peringkat suul khatimah itu, peringkat pertama adalah paling besar bahayanya.

    Risau terhadap perintah Allah

    Suruhan Allah mesti dilakukan dengan kesungguhan dan kesempurnaan mengikut aturannya, bermula dari dalam diri sehingga kepada praktik anggota badan.

    Firman Allah bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

    Menurut keterangan dalam Minhajul Abidin, seseorang itu harus berusaha menjaga kemurniaan dalam menjalankan ibadat atau menghindarkan sebarang perkara yang boleh membawa kerosakan pada ibadatnya.

    Dia mestilah ikhlas iaitu tulus menjalankan ibadat semata-mata kerana Allah.

    Risau memikirkan orang yang akan menuntut padanya kelak

    Abdullah bin Amr menceritakan, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Jauhilah kezaliman, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Sunan Darimi)

    Abu Laits berkata: Tidak ada dosa yang lebih besar daripada berbuat zalim, sebab dosa itu bila engkau langsung dengan Allah, maka Allah sangat pemurah untuk memaafkan kamu, tetapi jika dosa itu antaramu dengan sesama manusia, maka tidak ada jalan melainkan minta maaf kepada orang yang teraniaya. Apabila tidak dapat, kerana orang telah mati, maka bacakan istighfar untuknya semoga dengan itu akan dihalalkan kelak di hari akhirat. (Tanbihul Ghafilin)

    Ibnu Mas’ud dilaporkan berkata: “Sesiapa membantu orang zalim untuk menganiaya atau mengajarkan cara pembelaannya untuk mengalahkan hak (kebenaran) seorang Muslim, maka dia mendapat murka Allah dan menanggung dosanya.”

    Sayidina Umar bin al-Khattab bertanya kepada Ahnaf bin Qays: Siapakah orang yang paling bodoh?

    Jawab Ahnaf: Orang yang menjual akhirat dengan dunianya (orang mengorbankan akhirat untuk mendapatkan habuan dunia).

    Umar berkata: Sukakah saya beritahu kepadamu orang yang lebih bodoh daripada itu?

    Jawabnya: Baiklah wahai Amirul Mukminin.

    Umar berkata: Iaitu orang yang menjual akhiratnya untuk keuntungan orang lain.

  • Keutamaan berselawat ke atas Nabi

    Kredit foto Getty Images

    1. Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

    2. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, Allah membalas selawat ke atasnya 10 kali.” (Sunan Darimi)

    3. Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesiapa berselawat ke atasku satu kali, maka Allah berselawat (mengampuni) ke atasnya sepuluh.” (Riwayat Muslim)

    4. Daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumya): “Manusia yang paling utama denganku (paling dekat dan berhak mendapat syafaat) pada hari kiamat adalah yang paling banyak membaca selawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    5. Daripada Ali RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Orang bakhil ialah orang yang namaku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi, dan dia berkata hadis ini hasan sahih)

    6. Daripada Aus bin Aus, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sungguh antara hari kamu yang terbaik ialah hari Jumaat, maka banyak-banyaklah membaca selawat untukku pada hari itu, kerana selawat kamu diperlihatkan kepadaku.”

    Mereka (sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami diperlihatkan kepadamu, sementara jasadmu telah hancur luluh?”

    Baginda bersabda: “Sungguh, Allah mengharamkan bumi memakan jasad nabi-nabi.” (Riwayat Abu Daud)

    7. Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.” (Sunan Darimi)

  • Tujuh sebab doamu tertolak

    Foto hiasan – Unsplash

    Seorang ahli hikmah (orang bijaksana) ditanya: Mengapakah kami berdoa tetapi tidak juga diterima, padahal Allah telah berfirman (pada surah al-Mu’min, ayat 60, maksudnya); berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu?

    Jawabnya: Kerana kamu melakukan tujuh perkara yang menyebabkan tertolaknya doamu dari langit.

    Ditanya: Apakah sebab-sebab itu?

    Jawabnya:

    1. Kamu melakukan amalan yang menyebabkan murka Tuhan dan tidak bertaubat serta tidak menyesali perbuatan itu.

    2. Kamu berkata, “kami hamba Allah” tetapi tidak menjadi sebagai hamba yang patuh taat kepada majikannya.

    3. Kamu membaca al-Quran, tetapi tidak memperhatikan perintah-perintah dan larangan-larangan di dalamnya.

    4. Kamu mengaku, “kami umat Muhammad” tetapi tidak melakukan sunahnya, yakni masih tetap makan yang haram.

    5. Kamu mengakui bahawa dunia ini tidak berharga di sisi Allah walaupun sesayap nyamuk, tetapi berasa tenang tenteram kepadanya.

    6. Kamu berkata, bahawa dunia ini akan hilang, tetapi kamu berbuat seakan-akan kekal selamanya.

    7. Kamu mengakui bahawa akhirat itu lebih baik dari dunia, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam usaha amalan akhirat, bahkan masih mengutamakan dunia berbanding akhirat.

You cannot copy content of this page