KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir di 35 daerah di sembilan negeri terus meningkat kepada 87,029 membabitkan 26,753 keluarga yang ditempatkan di 539 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang.
Menerusi maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah keseluruhan itu, lebih separuh daripadanya membabitkan mangsa di Kelantan dengan 65,389 orang daripada 20,331 keluarga yang ditempatkan di 232 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.
Di Terengganu, bilangan mangsa banjir juga meningkat kepada 16,679 daripada 4,891 keluarga di 232 PPS di lapan daerah manakala di Kedah 2,745 mangsa daripada 926 keluarga di 38 PPS di lima daerah.
Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,365 mangsa daripada 367 keluarga dari dua daerah dan ditempatkan di 15 PPS sementara di Perlis pula, 425 mangsa daripada 125 keluarga dari tiga daerah berlindung di empat PPS.
Mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 312 orang daripada 77 keluarga dan setakat ini dua PPS sudah dibuka manakala di Melaka 66 mangsa daripada 19 keluarga berlindung di lima PPS di tiga daerah.
Bilangan mangsa banjir di dua daerah di Perak pula adalah 48 orang daripada 17 keluarga dan Johor membabitkan dua PPS dibuka sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagi pecahan kategori mangsa di semua negeri terjejas banjir itu, ia membabitkan lelaki dewasa seramai 28,270 orang, perempuan dewasa (30,198), kanak-kanak lelaki (13,378) dan kanak-kanak perempuan (12,721).
Mangsa turut babitkan bayi lelaki seramai 1,294 orang serta bayi perempuan 1,168 orang.
BH ONLINE