Angka maut taufan Chido meningkat kepada 73 di Mozambique

MAPUTO – Angka kematian akibat taufan Chido di Mozambique meningkat kepada 73 orang, dengan 543 individu dilaporkan cedera, agensi bantuan bencana negara itu mengumumkan pada Khamis.

Siklon itu, yang melanda wilayah Cabo Delgado dan Nampula, menyebabkan kemusnahan meluas, ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merosakkan infrastruktur kritikal.

Kerajaan telah membuka dua pusat penginapan kecemasan, yang kini menempatkan 1,349 orang memerlukan sokongan segera, menurut laporan dikeluarkan Institut Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (INGD).

Kemas kini ini menyusuli kenyataan Presiden Mozambique Filipe Nyusi pada Rabu, menjanjikan sokongan kerajaan untuk mangsa taufan itu.

INGD berkata taufan itu memusnahkan atau merosakkan sebahagian 36,207 rumah, bersama 48 kemudahan penjagaan kesihatan, 13 tempat ibadat, 186 tiang elektrik, sembilan sistem air dan 171 bot nelayan. Manakala 149 sekolah terjejas, melibatkan 15,429 pelajar dan 224 guru.

Taufan Chido mendarat di daerah Mecufi di wilayah utara Mozambique, Cabo Delgado pada Ahad, membawa ribut dan hujan lebat.

Organisasi kemanusiaan telah mula menyediakan bantuan kecemasan sambil mengeluarkan rayuan segera untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi membantu kira-kira 182,000 orang terjejas.

Chido telah meninggalkan Mozambique dan tidak lagi menjadi ancaman kepada negara. Suhu tinggi diramalkan untuk Mozambique dalam beberapa hari akan datang, menurut Institut Meteorologi Kebangsaan.

XINHUA

You cannot copy content of this page