Angka maut kebakaran bangunan Hong Kong meningkat kepada 55 – jabatan bomba

Angka kematian dalam kebakaran besar yang melanda kawasan kediaman di Hong Kong dari petang Rabu meningkat kepada 55, kata Jabatan Perkhidmatan Bomba (FSD) dalam taklimat akhbar pada Khamis, lapor Xinhua.

FSD dilapor berkata, 72 orang yang cedera dalam kebakaran itu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, termasuk lapan anggota bomba. Lebih 200 orang masih hilang.

FSD telah menghantar sejumlah 304 jentera bomba dan kenderaan penyelamat, dan menggunakan dron untuk memantau tahap haba bagi mengelakkan pembakaran semula. Jabatan itu telah memadamkan api di empat bangunan yang terjejas dan mengawal kebakaran di tiga yang lain.

Kawasan kediaman Wang Fuk Court terdiri daripada lapan bangunan, semuanya disarung oleh jaringan hijau dan perancah kerana projek pengubahsuaian besar. Tiga lelaki yang bertanggungjawab untuk pengubahsuaian telah ditahan sebelum ini kerana disyaki membunuh secara tidak sengaja, kerana siasatan polis menunjukkan bahan mudah terbakar yang menutupi bangunan sebagai kemungkinan punca api merebak dengan cepat.