Anas al-Sharif antara lima wartawan Al Jazeera dibunuh Israel di Gaza

Wartawan Al Jazeera Anas al-Sharif terbunuh bersama empat rakannya dalam serangan Israel yang disasarkan ke atas khemah menempatkan wartawan di bandar Gaza, lapor Al Jazeera.

Tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas khemah itu yang terletak di luar pintu pagar utama Hospital al-Shifa bandar Gaza lewat petang Ahad.

Menurut Al Jazeera, mereka termasuk koresponden Al Jazeera Mohammed Qreiqeh serta pengendali kamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.

Sejurus sebelum dibunuh, Anas, seorang koresponden terkenal Al Jazeera berbahasa Arab, berusia 28 tahun, yang dilaporkan membuat liputan secara meluas dari utara Gaza, menulis di X bahawa Israel telah melancarkan pengeboman sengit dan tertumpu – juga dikenali sebagai “tali pinggang api” – di bahagian timur dan selatan bandar Gaza.

Dalam video terakhirnya, menurut Al Jazeera, ledakan kuat pengeboman peluru berpandu intensif Israel boleh didengar di latar belakang ketika langit gelap diterangi cahaya oren.

Dalam mesej terakhir, yang ditulis pada 6 April, untuk diterbitkan sekiranya kematiannya, Anas dilaporkan berkata, dia “mengalami kesakitan dalam semua butirannya” dan “mengalami kesedihan dan kehilangan berulang kali”.

“Walaupun begitu, saya tidak pernah teragak-agak untuk menyampaikan kebenaran sebagaimana adanya, tanpa penyelewengan atau gambaran yang salah, dengan harapan Tuhan akan menyaksikan mereka yang berdiam diri, mereka yang menerima pembunuhan kami, dan mereka yang menyesakkan nafas kami,” katanya dipetik.

“Walaupun mayat anak-anak dan wanita kami yang remuk tidak menggerakkan hati mereka atau menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang telah dialami oleh rakyat kami selama lebih satu setengah tahun.”

Wartawan itu dilaporkan turut melahirkan rasa dukacita kerana terpaksa meninggalkan isterinya, Bayan, dan tidak melihat anak lelakinya, Salah, dan anak perempuannya, Sham, membesar.

Wartawan Al Jazeera Hani Mahmoud, yang hanya satu blok jauhnya ketika serangan melanda, berkata melaporkan kematian Anas adalah perkara paling sukar yang perlu dilakukannya dalam perang 22 bulan lalu.

Hani, yang bekerja untuk saluran Inggeris rangkaian itu, dipetik berkata wartawan-wartawan itu dibunuh “kerana laporan berterusan mereka mengenai kebuluran dan kelaparan dan kekurangan zat makanan” yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, “kerana mereka membawa kebenaran jenayah ini kepada semua orang”.

Menurut Al Jazeera, dalam satu kenyataan yang mengesahkan pembunuhan Anas yang disengajakan, tentera Israel menuduh wartawan itu mengetuai sel Hamas dan “memajukan serangan roket terhadap orang awam Israel dan tentera [Israel]”. Ia juga mendakwa bahawa ia mempunyai dokumen yang memberikan “bukti yang jelas” tentang penglibatannya dengan kumpulan Palestin.

Muhammed Shehada, seorang penganalisis di Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med, dilaporkan berkata terdapat “sifar bukti” bahawa Anas mengambil bahagian dalam sebarang permusuhan.

“Seluruh rutin hariannya adalah berdiri di hadapan kamera dari pagi hingga petang,” katanya kepada Al Jazeera.

Bulan lalu, selepas jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee berkongsi semula video di media sosial yang menuduh al-Sharif sebagai anggota sayap tentera Hamas, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kebebasan bersuara, Irene Khan, dipetik berkata dia “sangat cemas dengan ancaman berulang dan tuduhan tentera Israel” terhadap al-Sharif.

“Kebimbangan terhadap keselamatan al-Sharif adalah berasas kerana terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa wartawan di Gaza telah menjadi sasaran dan dibunuh oleh tentera Israel atas dasar dakwaan tidak berasas bahawa mereka adalah pengganas Hamas,” Irene dipetik sebagai berkata.

Rangkaian Media Al Jazeera baru-baru ini mengecam tentera Israel atas apa yang dipanggil “kempen hasutan” terhadap wartawannya di Jalur Gaza, termasuk, terutamanya, al-Sharif.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan bulan lalu dipetik berkata pihaknya amat prihatin terhadap keselamatan wartawan itu kerana dia “disasarkan oleh kempen fitnah tentera Israel”.

Sejak Israel melancarkan perang ke atas enklaf itu pada Oktober 2023, ia secara rutin menuduh wartawan Palestin di Gaza sebagai ahli Hamas sebagai sebahagian daripada apa yang dikatakan kumpulan hak asasi sebagai usaha untuk memburukkan pelaporan mereka tentang penderaan Israel.

Tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 200 wartawan dan pekerja media sejak pengebomannya bermula, termasuk beberapa wartawan Al Jazeera dan saudara-mara mereka.