Sayidina Ali RA dipetik berkata: Sesungguhnya antara nikmat dunia, cukuplah bagimu Islam sebagai suatu nikmat, antara kesibukan cukuplah bagimu ketaatan sebagai suatu kesibukan dan antara pengajaran cukuplah bagimu kematian sebagai suatu pengajaran.
Berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dengan kematian, sedangkan setiap hari bahkan setiap detik ada yang menemui ajal.
Firman Allah pada surah Ali Imran, ayat 185 yang diberikan maksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”
Ayat 26, surah ar-Rahman diberikan maksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.”
Manusia, sama ada banyak wang dan hartanya, disebut-sebut orang terkaya dunia, licik sehingga kekal berkuasa dan lama menguasai empayarnya, dinobatkan sebagai tercantik dan tampan, berpengaruh dan jawatan tinggi sehingga setiap patah keluar mulutnya didengari dan dipatuhi orang sekelilingnya, semua akan bertemu dengan mati.
Dan mati tidak melihat kepada harta, pangkat dan kuasa. Berapa ramai mereka sudah direnggut oleh mati walaupun hartanya berlimpah-limpah, kuasanya hebat dan pangkatnya besar. Firaun mati, Qarun mati dan ramai lagilah jika hendak disebut.
Zaman sekarang, nama yang selalu disebut oleh media semasa, Benjamin Netanyahu — sangat galak ‘menari’ di Asia Barat, mati juga. Mahu bersembunyi di kubu bawah tanah, mati turut mengikutinya. Sudah tahu begitu, kenapa masih bersikap seperti orang tidak tahu?
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Maksud yang diberi bagi ayat 8, surah al-Jumuah)
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Lihat surah an-Nisa, ayat 78)
Justeru apa yang harus dilakukan?
Kata Abu Laits: Sesiapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan jahat sebab dia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya.
Dan apabila sudah mati, maka tiada apa-apa lagi. Tiada apa yang boleh dikatakan — terputus semuanya. Noktah! Betul tak betul? Ambil contoh kuasa elektrik mati, maka kita bergelap, operasi jentera menggunakan tenaga elektrik terhenti — tak boleh buat apa-apa, kan!
Kematian manusia juga akan terhenti segalanya. Macam mana tu, cuba fikir. Penulis sendiri apabila memikirkan mati, terdiam sejenak, sayu jiwa dan berasa hendak menitis air mata. Anda bagaimana?
Kita pergi ke sana (alam kematian) bukan bersama harta, walaupun harta kita banyak, trilion katakanlah…oh hebat, kita menjadi titik fokus dunia…tetapi kita tetap tinggalkan juga harta itu, bahkan harta itu pula boleh mencetuskan peristiwa seterusnya, saman-menyaman, pertelingkahan – contoh, tak tuju kepada sesiapa secara khusus.
Diriwayatkan oleh Anas RA daripada Rasulullah SAW yang bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti seseorang ketika meninggal dunia iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka, kembali dua hal dan tinggal satu. Keluarga dan hartanya kembali dan yang tinggal adalah amalannya. (Sahih Bukhari dan Muslim)
Kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagaimana dipetik: Sesiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekalan, maka seolah-olah dia mengharungi lautan tanpa bahtera.”
Justeru marilah bersegera membuat kebaikan. Banyak perkara baik boleh dilakukan, seperti mengucapkan salam sejahtera apabila bertemu, memuji kebaikan antara satu sama lain ataupun sekadar bermanis muka dan mengukir senyuman, cuma jangan pula senyum sendirian.
Rajin-rajinlah melakukan amalan ketaatan, jauhi kejahatan dan elak sebarang bentuk penganiayaan kepada sesama manusia. Semua kita adalah sama iaitu sama-sama jenis manusia, sama-sama berpijak di bumi sama, bernaung di bawah langit yang sama, beza warna kulit kerana beza iklim dan beza bahasa kerana beza komuniti pergaulan.