Arahan pemindahan 11 kampung di sempadan Ukraine dengan Rusia

Seorang anggota tentera Ukraine berjalan di tapak serangan peluru berpandu Rusia, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di Sumy, Ukraine 13 April 2025. REUTERS

KYIV – Pihak berkuasa di wilayah Sumy Ukraine yang bersempadan dengan Rusia pada Sabtu mengarahkan pemindahan mandatori 11 kampung kerana pengeboman, ketika Kyiv bimbang serangan Rusia di sana.

“Keputusan ini mengambil kira ancaman berterusan terhadap nyawa orang awam kerana pengeboman di komuniti sempadan,” kata pentadbiran Sumy.

Kementerian pertahanan Rusia pada Sabtu berkata tenteranya telah menawan sebuah lagi kampung Sumy, Vodolagy, yang dikenali sebagai Vodolahy dalam bahasa Ukraine.

Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini mendakwa telah mengambil beberapa kampung di wilayah timur laut, dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata minggu ini bahawa Moscow sedang mengumpulkan lebih 50,000 askar berdekatan sebagai tanda kemungkinan serangan.

AN-AFP