KHARTOUM, 30 Mei – Sekurang-kurangnya 26 orang awam terbunuh dalam serangan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera ke atas tiga pekan di wilayah Kordofan barat Sudan, umum kerajaan Sudan pada Jumaat.
“Dalam beberapa jam kebelakangan ini, militia RSF telah melakukan beberapa siri jenayah ngeri, dengan sengaja menyasarkan kawasan awam dan meragut nyawa orang tidak bersalah,” kata Kementerian Luar Sudan dalam satu kenyataan.
“Hari ini (Jumaat), militia menyasarkan Hospital Al-Daman di bandar El-Obeid, membunuh 16 pesakit yang sedang menerima rawatan dan mencederakan beberapa yang lain,” kata kementerian itu sambil menambah, “pada Rabu, militia juga menyerang pasar awam di pekan Al-Khiwai dengan dron, membunuh lapan orang awam.”
RSF juga menyasarkan kawasan perumahan di pekan Al-Dibaibat, Kordofan Selatan, membunuh dua orang awam, kata kenyataan itu.
Kementerian menyifatkan serangan RSF sebagai sebahagian daripada kempen disengajakan dan sistematik yang menyasarkan orang awam, pertubuhan kemanusiaan, infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting, dengan niat untuk mendatangkan bahaya maksimum kepada orang awam.
Ia menuduh RSF mengebom gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di El-Fasher, ibu kota Negeri Darfur Utara, pada Khamis dan membakarnya, memusnahkan sejumlah besar bekalan makanan.
Pertempuran bersenjata antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan RSF telah meningkat di seluruh wilayah Kordofan, yang merangkumi negeri Kordofan Utara, Barat dan Selatan.
Pada Khamis, RSF mendakwa menguasai pekan Al-Dibaibat di Kordofan Selatan dan Al-Khiwai di Kordofan Barat. Tentera Sudan masih belum menjawab tuntutan tersebut.
Sudan telah diselubungi konflik kejam antara SAF dan RSF sejak April 2023. Peperangan itu telah membunuh berpuluh-puluh ribu dan memaksa berjuta-juta orang meninggalkan rumah mereka, baik di dalam Sudan mahupun merentasi sempadannya.
XINHUA