Kes bunuh perlu wang tengok Harimau Malaya di Kemboja: Mayat reput sah Nurul Asikin

Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, Kuching Ahad lalu adalah Nurul Asikin Lan.

KUCHING — Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Tabuan Jaya, Ahad lalu adalah Nurul Asikin Lan, 26.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) petang ini.

“Identiti mayat yang dijumpai di Jalan Setia Raja telah dikenal pasti dan disahkan adalah mangsa Nurul Asikin,” katanya ringkas menerusi WhatsApp, hari ini.

Allahyarham Nurul Asikin dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya.

Pada Ahad lalu, mayat wanita yang sudah reput ditemui di dalam longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya.

Mancha berkata, lelaki berusia 20-an iaitu suspek utama yang ditahan pada Sabtu membawa polis ke lokasi itu dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.

Menurut Mancha, suspek turut membuat pengakuan dia membunuh wanita itu.

“Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan menyaksikan kejohanan bola sepak di Kemboja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, esok.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak menghubungi keluarga mangsa ketika ini kerana tidak mahu mengganggu emosi mereka.

“Sesiapa mahu datang melihat, boleh terus ke Tanah Perkuburan Samariang esok. Minta tolong jangan hubungi keluarga sepupu saya buat masa ini,” katanya.

BH ONLINE/8:16pm

You cannot copy content of this page